PH mahu wujud akta anti kebencian jika menang PRU15 - Utusan Malaysia

PH mahu wujud akta anti kebencian jika menang PRU15

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menakluki Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), parti tersebut akan mengemukakan satu Rang Undang-Undang (RUU) untuk menghalang isi kandungan atau perbuatan yang membawa kebencian kepada mana-mana pihak.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, RUU tersebut akan menghalang daripada mana-mana pihak daripada mencetuskan ketegangan dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Menurut beliau, RUU tersebut akan dilaksanakan seperti mana negara-negara luar yang turut mempunyai rakyat pelbagai kaum bagi memastikan keamanan antara masyarakat sentiasa terjaga.

“PKR telah melakukan perbincangan sebelum ini,  sekiranya PH menang dalam PRU15 kita akan kemukakan RUU isi kandungan menghalang kebencian.

“Di negara-negara lain walaupun penduduk minoritinya sedikit tetapi ada undang-undang anti kebencian yang mencegah daripada sebarang kandungan atau tindakan yang boleh menimbulkan kebencian atas dasar agama, kaum, jentina serta perkara-perkara lain sehingga menjejas ketenteraman awam,” katanya semasa sidang media, di sini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pada 11 November lalu, Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir  memohon maaf ekoran keterlanjurannya membuat kenyataan bahawa sesiapa yang mengundi Barisan Nasional dan PH akan masuk neraka.

Di Perak, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dilaporkan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa budaya songsang manakala DAP bakal membawa agenda komunis jika PH membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga calon PH  Parlimen Pandan itu berkata, debat politik seharusnya memberi fokus kepada isu-isu rakyat seperti masalah gaji dan bagaimana parti tersebut boleh membawa kebaikan kepada rakyat.

“Politik yang membawa kebencian dengan mengheret agama Islam yang selalu dimainkan Pas dan kini Perikatan Nasional (PN). Perkara ini tidak hanya disebut serta dibangkang tetapi ia perlu ada satu undang-undang untuk mengelakkan negara kita terheret sekali lagi di dalam polemik perkauman mahupun keagamaan sehingga menjejas kentereraman awam,” katanya.

Tambahnya, beliau akan meneruskan laporan polis terhadap pemimpin-pemimpin Pas atas kebertanggungjawaban mereka bersama membiarkan kempen yang membawa kandungan seperti perkara tersebut sehingga berlanjutan.

“Laporan polis itu akan dilakukan esok iaitu pada 11 pagi di ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya. Saya akan buat laporan polis bukan sahaja kepada Mohd. Shahiful tetapi juga kepimpinan Pas kerana membiarkan kempen yang membawa kebencian kepada pihak lain,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya