PETALING JAYA: Lebih 10 kerusi Parlimen bakal menyaksikan pertembungan yang tidak disangka melibatkan nama-nama besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pertembungan kali ini melibatkan calon-calon Perdana Menteri, Menteri Besar dan beberapa orang bekas menteri dan timbalan menteri serta pemimpin tertinggi parti masing-masing.
Antara kerusi yang paling menjadi tumpuan dalam PRU kali ini ialah Parlimen Tambun yang menyaksikan pertembungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penyandang kerusi, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ini kerana, Anwar merupakan calon Perdana Menteri kepada Pakatan Harapan (PH) manakala Ahmad Faizal merupakan Timbalan Presiden Bersatu serta bekas Menteri Besar Perak dan bekas Menteri Belia dan Sukan.
Ia satu cabaran getir buat Ahmad Faizal yang hanya meraih majoriti 5,320 undi di Tambun dalam PRU14 lalu, sedangkan Anwar meraih majoriti 23,560 undi ketika bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Namun, hampir 15,000 pengundi Tambun mengundi Pas dalam PRU14, memberi kelebihan kepada Ahmad Faizal dalam PRU kali ini, walaupun Anwar dijangka meraih sokongan pengundi bukan Melayu.
Parlimen Gombak turut menyaksikan pertembungan menarik apabila penyandang kerusi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertemu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Amirudin pernah menjadi penyokong kuat Azmin semasa bersama PKR, malah membantu beliau memenangi Gombak dengan majoriti 48,721 undi pada PRU14 apabila memenangi DUN Sungai Tua dengan majoriti 11,374 undi.
Namun, setelah Azmin keluar PKR dan menyertai Bersatu, kedua-duanya kini menjadi lawan dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, Amirudin yakin dapat merampas semula kerusi tersebut memandangkan dua DUN di bawah Gombak iaitu Sungai Tua dan Hulu Kelang disandang oleh PH manakala Gombak Setia disandang oleh Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga berdepan cabaran untuk mempertahankan Bagan Datuk apabila berdepan calon PH, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin yang pernah menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Ali Rustam dua kali iaitu di Parlimen Bukit Katil pada 2013 dan Parlimen Hang Tuah Jaya pada 2018.
Calon Perdana Menteri kepada PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan mempertahankan Parlimen Pagoh, namun berdepan tentangan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim yang bertanding di Muar sebelum ini.
Selain itu, terdapat beberapa kerusi yang menyaksikan pertembungan antara bekas menteri-menteri dalam kerajaan persekutuan antaranya bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad di Parlimen Titiwangsa.
Begitu juga dengan Parlimen Putrajaya antara bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.
Di Parlimen Kuala Selangor pertembungan antara Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dijangka sengit melibatkan latar belakang calon yang berbeza.
Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam apabila berdepan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenangi Anwar sebelum ini menentang bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan yang sebelum ini bertanding di Hulu Selangor.
Parlimen Alor Gajah melibatkan tiga nama besar apabila penyandang kerusi, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof selaku bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) akan bertembung dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Penyandang kerusi Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub akan bertembung dengan bekas Timbalan Menteri dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed buat kali ketiga selepas 2013 dan 2018.
Turut dijangka pertembungan menarik melibatkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan calon PH, R. Ramanan di Sungai Buloh, bekas Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai melawan Young Syefura Othman di Bentong dan antara calon BN, Hizatul Isham Abdul Jalil dan Dr. Afif Bahardin di Parlimen Shah Alam. – UTUSAN










