Permintaan tiket bas, kereta api melonjak sempena PRU15

Permintaan tiket bas, kereta api melonjak sempena PRU15

PENGENDALI bas ekspres memberitahu tiket bas habis dijual menjelang hari membuang undi, Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan tiket bas dan kereta api melonjak naik sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November ini.

Permintaan dan penjualan tiket pengangkutan awam itu laris apabila ramai rakyat Malaysia memilih menggunakan kenderaan awam itu untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohammad Asfar Ali mengesahkan, tiada peningkatan surcaj atau harga tiket bas walaupun permintaan agak tinggi pada masa ini.

Menurutnya, terdapat aduan yang diterima daripada pengguna mengatakan tiket bas habis dijual tapi ianya mungkin disebabkan oleh orang ramai yang ingin balik kampung pada hari dan syarikat bas yang sama.

“Berdasarkan maklumat, tekanan terhadap permintaan bas sangat tinggi tapi selepas Perdana Menteri mengumumkan cuti umum pada 18 November, permintaan stabil sebab masa pengundi untuk balik ke kampung lebih fleksibel,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

“Setakat ini ada 4,779 bas ekspres seluruh Malaysia, 3,220 daripadanya kelas ekonomi dan dalam jumlah itu ada bas gantian yang ditambah untuk menampung permintaan dan PMBOA tidak boleh paksa setiap syarikat bas untuk tambah lagi bilangan.

Tambah Asfar, banyak syarikat bas yang baharu memulakan operasinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penyelenggaraan perlu dilakukan dan Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang dibuka Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dapat menyokong penambahan bilangan bas.

Terdahulu, APAD membuka permohonan LPS kepada pengendali bas yang berminat untuk menampung permintaan bas sempena PRU15 dan permohonan yang diluluskan bermula 17 November hingga 20 November 2022.

Sementara itu, jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, sambutan orang ramai terhadap tempahan tiket pulang ke kampung untuk mengundi meningkat.

Menurutnya, sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRU15 pada 19 November 2022, orang ramai telah mula membeli tiket lebih awal untuk mengelakkan kehabisan tiket.

“Pengguna juga kini lebih bijak dengan membuat tempahan awal terutamanya melalui aplikasi telefon dan paling penting ia dapat mengelakkan kesesakan trafik di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, setakat hari ini, mengikut data yang dikemas kini, sebanyak 1,079 tiket bagi perjalanan tren Electric Train Services (ETS) dan tren KTM Intercity bagi sektor Kuala Lumpur-Tumpat sudah dijual.

“Perkhidmatan tren ETS menawarkan sebanyak 32 perkhidmatan dan menawarkan tiket tambahan sebanyak 2,520 tiket manakala KTMB menawarkan 1,432 tiket pergi dan balik bagi tren khas laluan KL Sentral–Tumpat–KL Sentral bagi perjalanan 18 November dan 20 November ini.

“Walau bagaimanapun, KTMB tidak menawarkan apa-apa harga istimewa ataupun diskaun kepada para penumpang bagi tujuan balik mengundi,” jelasnya.

Tambahnya, tiket tambahan juga telah mula dijual sejak 1 November dan para penumpang dinasihatkan untuk membuat tempahan awal bagi mengelakkan kehabisan tiket yang dijangka mendapat sambutan tinggi menjelang PRU15. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN