PETALING JAYA: Kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara mengambil sikap tidak peduli untuk menunaikan tanggungjawab selaku pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Jika jarak menjadi alasan, perkara itu sudah diselesaikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana lazimnya golongan tersebut diberi kelonggaran untuk mengundi secara pos selain permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian.
Malah jawapan soalan lazim di laman rasmi SPR juga memaklumkan kemudahan undi pos telah diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara, termasuk di Kalimantan, Indonesia, Wilayah Selatan Thailand, Brunei dan Singapura.
Berdasarkan laporan Parlimen awal tahun ini, kerajaan menganggarkan terdapat 3.15 juta rakyat di lebih 20 negara.
Difahamkan sehingga 19 Oktober lalu hanya 17,000 atau sekitar 0.53 peratus daripada 3.15 juta rakyat Malaysia di luar negara mendaftar untuk mengundi pos.
Permohonan dalam talian untuk undi pos kategori tersebut (1B) dibuka hingga 23 Oktober dan dijangka berlaku pertambahan rakyat Malaysia di luar negara yang layak mengundi apabila pelaksanaan pendaftaran automatik individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.
PERATUSAN
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sepanjang beliau bersama SPR sejak 2008 hingga 2016, peratusan mengundi rakyat Malaysia di luar negara sangat rendah.
Beliau berkata, ramai yang beranggapan proses untuk pengundian itu menyulitkan mereka kerana pejabat kedutaan Malaysia di luar negara berada jauh dengan kediaman masing-masing selain ada yang sudah bertukar alamat dan hidup pindah-randah.
“Selain itu, ada juga rakyat Malaysia yang sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak ambil berat dan ambil mudah tentang tanggungjawab selaku pemilih. Kita (SPR) sudah berikan peluang seluas-luasnya kepada mereka untuk jalankan tanggungjawab.
“SPR sudah berusaha sedaya upaya dengan kerjasama Kementerian Luar. Amalan sebelum ini, kita kumpulkan mereka di pejabat kedutaan untuk urusan undi pos selain ada juga yang dihantar terus ke alamat rumah masing-masing.
“Proses yang dilaksanakan SPR juga cukup cepat dan pantas, lazimnya kertas undi pos juga dihantar terus selepas proses penamaan calon bagi menjamin kertas undi sempat dikembalikan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai prosedur yang juga sambutan rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk menunaikan tanggungjawab selaku pengundi pada PRU15.
SENARIO
Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, dalam senario persaingan sengit antara parti politik untuk mendapatkan undi rakyat, undi pos dari luar negara sangat penting walaupun jumlahnya kecil.
“Setiap undi amat perlu dalam kawasan-kawasan tertentu yang mungkin boleh menjadi penentu kemenangan seseorang calon. Dalam sistem pilihan raya di negara kita, di mana walaupun perbezaan satu undi, undi itu akan memberi kemenangan kepada calon.
“Yang penting sampul kertas undi pos mesti sampai balik ke pejabat pegawai pengurus pilihan raya di kawasan masing-masing sebelum waktu pengundian ditutup pada hari mengundi 19 November ini,” katanya.
Menurut Wan Ahmad, tiada siapa yang boleh mempertikaikan cukup masa atau tidak untuk kertas undi pos dikembalikan kerana SPR telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk tempoh berkempen selain tarikh bubar Parlimen.
“Untuk pengiraan kertas undi pos pula, ia akan didahulukan untuk pengiraan sebelum disusuli dengan kiraan kertas undi biasa. Jumlah pengundi pula, biasanya mengikut data yang dimiliki Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.- UTUSAN










