Penganggur didakwa miliki Revolver, 50 butir peluru tanpa lesen

Penganggur didakwa miliki Revolver, 50 butir peluru tanpa lesen

Tertuduh (dua dari kanan) diiringi oleh anggota polis semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Revolver, 50 butir peluru dan satu kelongsong peluru tanpa lesen atau permit yang sah, minggu lalu.

Tertuduh, Wan Khairul Hazrimie Wan Azuan,32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Afiq Zuber. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Revolver, 50 butir peluru dan satu kelongsong peluru tanpa lesen atau permit yang sah mengikut Seksyen 4 Akta Senjata 1960.

Kesalahan itu dilakukan oleh Wan Khairul Hazrimie di sebuah bilik di Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 1 tengah hari pada 14 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subahan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Edabayu menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin kerana tertuduh melakukan kesalahan memiliki senjata berbahaya tanpa lesen.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 17 Januari depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Sementara itu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, Wan Khairul Hazrimie didakwa bersama-sama isterinya, Chee Siok Chin, 30, atas pertuduhan memiliki dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine seberat 35.89 gram pada masa dan lokasi yang sama.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau sebat tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Januari depan untuk serahan laporan kimia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya