Pakatan kurangkan anak ayam, naikkan harga

Pakatan kurangkan anak ayam, naikkan harga

INDUSTRI ternakan ayam dijangka berdepan isu yang berpanjangan jika dakwaan wujudnya permainan harga di peringkat pembekal tidak diatasi segera. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Segelintir pembekal anak ayam untuk industri telur dan pedaging disyaki berpakat sesama sendiri mengurangkan pengeluaran bagi tujuan menaikkan harga.

Sumber industri mendedahkan, pada masa ini ada agensi sedang memantau trend pengurangan bekalan anak ayam berusia sehari atau day old chick (DOC) dan bersedia mengambil tindakan menanganinya kerana ia disifatkan mensabotaj ekonomi dan keselamatan makanan negara.

Kata sumber, pihaknya dimaklumkan oleh agensi berkaitan bahawa data pada Oktober tahun ini menunjukkan penyusutan ketara bilangan pengeluaran anak ayam mencecah hampir 40 peratus berbanding Ogos.

“Pengeluar anak ayam juga didapati menaikkan harga bekalan hampir 100 peratus, dengan harga seekor anak ayam pada November dijual RM3.40, berbanding bawah RM2.90 pada Oktober dan RM1.90 pada Januari dan Februari lalu.

“Isunya sekarang, kalau tengok trend, susah nak dapat anak ayam, baik anak ayam penelur mahupun ayam pedaging. Kenapa? Inilah yang disebut ada konspirasi. Maksudnya, pengeluar cuba mengurangkan pengeluaran anak ayam.

“Sekarang, harga anak ayam DOC RM3.40. Ogos, harga DOC bawah RM3.00, dan pada Januari dan Februari lalu, harga anak ayam DOC seekor cuma RM1.90.

“Dalam soal pengeluaran, jelas kelihatan graf pengeluaran terjejas sekarang (November) berbanding Ogos, yang mana kurang sebanyak 36 peratus. Ini berlaku dalam tempoh dua ke tiga bulan saja,” kata sumber kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sumber itu berkata, kartel pengeluar anak ayam bertindak mengurangkan pengeluaran sebagai kaedah memeras kerajaan menaikkan semula jumlah saluran subsidi, yang sebelum ini dikurangkan kepada 80 sen seekor berbanding RM1.40 pada April, Mei dan Jun lalu.

Jelasnya, ada segelintir pengeluar anak ayam juga disyaki sedang mendesak kerajaan supaya mengapungkan harga ayam dan telur, bagi membolehkan mereka mengaut keuntungan besar kerana kerajaan tidak lagi berkuasa mengawal harga ternakan itu.

“Tujuannya, bila kerajaan bagi subsidi sebelum ini 80 sen, pengeluar anak ayam ini tak puas hati. Sebab sebelum ini, daripada RM1.40, kerajaan turunkan sehingga sekarang 80 sen. Mereka tak puas hati, jadi mereka kurangkan pengeluaran anak ayam.

“Agenda mereka, untuk naikkan harga anak ayam DOC dan di peringkat ladang pun, akan menaikkan harga peringkat ladang. Akhirnya, ini akan mendesak kerajaan supaya menambah lagi subsidi, atau apungkan harga.

“Sekarang, harga anak ayam DOC RM3.40. Pengeluaran anak ayam terjejas sekarang (Oktober) berbanding Ogos, sebanyak 36 peratus. Ini berlaku dalam tempoh dua bulan saja. Sebab bila kerajaan umumkan subsidi dikurangkan kepada 80 sen, maka automatik nampak jelas penurunan pengeluaran anak ayam,” katanya.

Dalam pada itu sumber berkata, kartel-kartel anak ayam cukup bijak mencipta seribu satu alasan mengurangkan bekalan dan menaikkan harga anak ayam yang dijual kepada penternak.

“Alasan yang diberikan kepada kerajaan, kononnya kos pengeluaran tinggi. Sebab itu bila kita tengok, dulu masa kerajaan letak subsidi RM1.40, kita boleh lihat pada April, Mei dan Jun, pengeluaran anak ayam sangat tinggi.

“Sehinggakan kita terpaksa mendesak kerajaan supaya mengeksport. Pasal harga dah mula jatuh sebab orang pakat-pakat bela ayam, sebab subsidi tinggi. Tapi sekarang menurun sebanyak 36 peratus, sangat drastik sebab berlaku dalam tempoh dua bulan saja sejak Ogos,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN