Nasib empat tokoh UMNO diketahui hari ini - Utusan Malaysia

Nasib empat tokoh UMNO diketahui hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib beberapa penyandang kerusi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sama ada diberi tempat atau perlu ‘berehat’ akan diketahui ketika pe­ngumuman calon hari ini.

Antara nama-nama yang menarik perhatian ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ini selepas wujud de­sas-desus bahawa UMNO-BN akan melakukan rombakan calon termasuk beberapa penyandang tidak akan mempertahankan kerusi masing-masing dalam pilihan raya kali ini.

Khairy tidak akan mempertahankan Rembau, kerusi yang ditandinginya sejak 2008 malah namanya dikatakan tidak ada dalam se­narai calon BN di Negeri Sembilan.

Terbaharu, nama Khairy dikaitkan dengan kerusi Parlimen Sungai Buloh, Selangor. Dalam reaksi terbaharu Menteri Kesihatan itu, beliau bersedia diletakkan di mana-mana kerusi jika masih dicalonkan oleh pucuk pimpinan.

Tajuddin pula dijangka tidak mempertahankan Parlimen Pasir Salak selepas keahlian UMNO digantung selama enam tahun.

Annuar mahu mempertahankan Parlimen Ketereh namun kedudukannya menjadi tanda tanya selepas beliau tidak sebulu dengan pucuk pimpinan parti.

DIGUGURKAN

Shahidan juga berdepan nasib serupa apabila beliau dikatakan akan digugurkan daripada Parlimen Arau, kerusi yang ditandinginya empat kali.

Di Tanjung Sepat, Kuala Langat kelmarin,Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan BN akan mengumumkan calon PRU15 parti itu Selasa ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis keselamatan dan politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat, ketiadaan nama-nama penyandang BN di kawasan masing-masing sedikit sebanyak memberi kesan kepada gabungan politik itu.

Ini kerana, menurut beliau, sokongan sebahagian pengundi terhadap penyandang sebelum ini akan beralih arah jika calon baharu dinamakan di kawasan tersebut.

“Jika mereka tidak dicalonkan di kawasan masing-masing, BN tetap meraih undi penyokong dan ahlinya. Namun, BN akan kehilangan pengundi atas pagar, pengundi bukan ahli serta pengundi muda.

“Sebab itu, BN perlu mengimbangi kehendak parti dengan kehendak masyarakat dan mengambil kira pemilihan calon iaitu calon boleh menang, popular, berkepimpinan dan berketerampilan kerana faktor tambahan seperti undi atas pagar dan pengundi muda perlu dipertimbangkan,” kata beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pemimpin partinya supaya tidak berasa kecewa sekiranya tidak terpilih sebagai calon PRU15.

Beliau juga menyeru partinya supaya tidak bertelagah berkaitan pemilihan calon kerana dikhuatiri peluang untuk memenangi sesebuah kerusi itu akan terjejas.

“Rezeki bukan hanya menjadi calon dalam pilihan raya, tentu pucuk pimpinan tidak dapat memuaskan hati semua pihak, daripada lima senarai calon yang dihantar, hanya seorang akan dipilih.

“Mungkin mereka ada peluang bagi enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN ) untuk dipilih sebagai calon DUN pada tahun depan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN