Muhyiddin sifatkan manifesto BN bahaya dan tidak realistik

Muhyiddin sifatkan manifesto BN bahaya dan tidak realistik

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) sebagai sesuatu yang berbahaya dan tidak realistik untuk dilaksanakan. 

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau bimbang tawaran dinyatakan itu sama ada boleh dilaksanakan atau akan membawa kesan besar kepada kedudukan kewangan negara pada masa akan datang. 

Katanya, antara yang menjadi persoalan adalah jaminan dalam manifesto tersebut memberi pendapatan minimum kepada rakyat yang disifatkannya sebagai tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan di dunia. 

“Nampak memang menarik, tetapi, mampukah kita melaksanakannya? Kalau pendapatan rakyat RM1,500, mereka nak bagi RM500 seorang untuk seluruh negara? Macam mana nak laksanakan itu?

“Niatnya baik, tetapi ada keupayaan atau tidak? Saya baru tengok sepintas lalu dan selepas ini, pasukan kami akan buat penelitian serta keluarkan kenyataan supaya rakyat tak ditipu dengan tawaran bukan-bukan serta tidak realistik,” katanya selepas bersama masyarakat di Medan selera PJ2 di Jitra di sini.

Muhyiddin turut mempersoalkan sama ada BN berada dalam kedudukan terdesak, hingga membuat tawaran sebegitu. 

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifesto PN meniru Bajet 2023.

“Ismail Sabri jangan lupa kerajaan pimpinannya sebelum ini lebih ramai wakil rakyat PN di dalamnya. Sebab itu kita bersetuju dengan perkara dibentang dalam Bajet tersebut dan masukkan dalam manifesto untuk mengingatkan semua pihak mengenai perkara itu. 

“Dalam masa sama, kita sebut akan lakukan penambahbaikan jika perlu dan Ismail Sabri tak bolehlah kata Bajet 2023 itu miliknya sedangkan kami tak kata yang bajet itu bajet kami walaupun kami ramai dalam Kabinet,” katanya. 

Dalam pada itu, PN akan menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan keyakinan untuk membentuk kerajaan tanpa memberi tumpuan kepada kemungkinan lain seperti dinyatakan pihak tertentu.

Muhyiddin berkata, PN telah pun membuat ketetapan dan pendirian untuk berjuang habis-habisan dalam PRU15 dengan matlamat mendapatkan sokongan rakyat.

Katanya, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa BN bersedia melaksanakan apa saja kaedah termasuk bergabung dengan parti lain selepas PRU15, membuktikan Ahmad Zahid tidak yakin mampu membentuk kerajaan. 

“Itu pandangan beliau, pandangan saya, biarlah kita hadapi PRU dulu, kita pun tak boleh jangka apa berlaku. Setakat ini, saya jangka dan harapkan akan berlaku gelombang yang bakal membersihkan segala sampah sarap politik di negara ini termasuk BN dan Pakatan Harapan (PH),” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya