PETALING JAYA: Kerusi Parlimen Sungai Buloh bakal menjadi titik kebangkitan Khairy Jamaluddin dalam pentas politik UMNO sekiranya beliau memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Ramai berpendapat, Menteri Kesihatan itu boleh ‘mencuri’ undi PH yang dimenangi S. Sivarasa dengan majoriti 26,634 undi pada PRU14.
Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, melihat minggu pertama tempoh kempen, Khairy boleh diterima pengundi di Sungai Buloh atas ketokohan dan idea-idea menarik beliau.
“Apabila KJ sebut mahu jadi Presiden UMNO dan menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, itu sangat rasional dan boleh diterima bukan sahaja pengundi di Sungai Buloh tetapi rakyat seluruh negara.
“Cuma sekarang ini, KJ bertanding di kubu kuat PH yang sudah menang tiga penggal. Bagaimanapun, pengundi di kawasan itu terdiri pelbagai kumpulan yang berfikiran bebas dan tidak terikat dengan keputusan tradisi, tidak mustahil beliau menang,” katanya ketika dihubungi semalam.
MELUAHKAN
Malam kelmarin, Khairy dalam ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh secara terbuka meluahkan hasrat untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.
“Dengan takdir Allah, dengan sokongan rakan, satu hari nanti, saya mahu memimpin UMNO. Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu.
“Tidak pernah saya cakap. Kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) nak ‘keratkan’ saya, tapi sudah tiba masanya saya menyatakannya,” kata Khairy disambut tepukan dan sorakan hadirin.
Mazlan berkata, beliau yakin, peluang Khairy menjadi Presiden UMNO cerah kalau beliau tidak dicantas.
“Saya kira KJ sangat reformis dalam UMNO dan gaya pemikirannya sangat berbeza. Rakyat khususnya yang tinggal di kawasan bandar suka KJ kerana beliau sentiasa berfikiran terbuka dan saya percaya kalau KJ pertahankan Parlimen Rembau beliau wajib menang.
“Kalau dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin utama UMNO ketika ini, boleh dikatakan semua bertanding di kerusi selamat kecuali Khairy. Jadi, kita lihat keputusannya nanti dan jika menang KJ boleh melompat jauh,” katanya.- UTUSAN









