Lelaki maut motosikal rempuh kerbau berkeliaran atas jalan

Lelaki maut motosikal rempuh kerbau berkeliaran atas jalan

KEADAAN motosikal mangsa yang maut merempuh seekor kerbau yang berkeliaran di atas jalan raya di Kilometer 18.2, Jalan Melawi - Kuala Besut dekat Kampung Pachakan di sini semalam. -UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kerbau yang berkeliaran atas jalan raya di Kilometer 18.2, Jalan Melawi – Kuala Besut dekat Kampung Pachakan, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Danish Ikman Hazly, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC sedang dalam perjalanan dari Kampung Pachakan ke Tok Bali di sini.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai merempuh seekor kerbau yang berada di atas jalan raya.

“Insiden itu menyebabkan motosikalnya terbabas sebelum mangsa yang bekerja sendiri jatuh di atas jalan raya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Zaizul Rizal memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN