KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Elliza Razak merayu orang ramai mendoakan kesembuhan sahabat baiknya, Lydia Ibtisam yang kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Menerusi perkongsian di Instagram, Elliza meluahkan rasa sedih melihat keadaan Lydia atau nama sebenarnya, Nur Ibtisam Abdul Wahab yang kini sedang bertarung nyawa.
Menurut Elliza, persahabatan mereka terjalin sejak kedua-duanya bergandingan menerusi drama Impian Illyana.
“Assalamualaikum semua. Dengan berat hati saya nak maklumkan keadaan sahabat baik saya, Lydia Ibtisam. Kalau ada yang mengenali kami, kami pernah bekerjasama dalam drama Impian Illyana.
“Beliau kini berada dalam keadaan sangat kritikal di hospital.
“Saya mohon semua dapat membantu dengan menadah tangan dan mendoakan supaya Lydia diberi keajaiban untuk sembuh semula.
“Kalau boleh, saya juga mohon semua dapat melakukan solat hajat untuk kesembuhannya. Tolong doakan Lydia,” katanya.
Dalam luahan sama, Elliza turut menyatakan rasa tidak sanggup melihat keadaan sahabatnya yang kini lemah, selain berharap Allah SWT mengurniakan keajaiban buat Lydia.
“Ya Allah, Lydia… saya tidak sanggup melihat keadaan awak yang begitu lemah. Awak kuat, Lydia. Saya sangat sayangkan awak.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan keajaiban buat awak,” luahnya.
Perkongsian berkenaan turut mengundang rasa sebak dalam kalangan warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan titipan doa dan kata-kata semangat buat Lydia.
Bagaimanapun, setakat ini, belum ada maklumat lanjut mengenai punca Lydia dimasukkan ke hospital atau keadaan kesihatannya.










