fbpx

Langkah Korea Selatan, Ghana sama-sama laju

PEMAIN tengah, Son Heung-min (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan di Doha, semalam menjelang perlawanan menentang Ghana. - AFP

DOHA: Selepas seri tanpa jaringan menentang Uruguay, Korea Selatan perlu mengalahkan Ghana untuk mara ke peringkat seterusnya dalam Piala Dunia.

Korea Selatan yang menghuni rangking ke-28 dunia lebih banyak bertahan semasa menentang Uruguay sehingga penyerang lawan, Luis Suarez dan Darwin Nunez tidak dapat menembusi gawang untuk jaringan pasukan mereka.

Ghana pula sedang menghadapi detik sukar apabila tewas kepada Portugal 3-2 dan walaupun mendapat dua jaringan menerusi Andre Ayew dan Osman Bukari benteng pertahanan Ghana masih kelihatan goyah.

Korea Selatan semasa perlawanan menentang Uruguay tidak dapat melakukan sepakan tepat kepada gawang lawan dan perkara itu perlu ditambah baik sebelum pertemuan bersama Ghana.

Pemain Korea Selatan yang menyaksikan taktikal dan cara permainan Ghana semasa perlawanan pembukaan mereka mengatakan bahawa terdapat kelemahan pasukan tersebut yang boleh digunakan untuk mencari kemenangan.

Pemain tengah Korea Selatan, Song Min Kyu berkata, perlu diakui akan kelebihan yang dimiliki oleh pemain-pemain Ghana tetapi masih ada cara untuk mengatasi kelebihan tersebut menggunakan kelemahan mereka sendiri.

“Ghana mempunyai kelebihan daripada segi kelajuan dan fizikal pemain mereka, tambahan pula kemahiran juga berada di peringkat yang baik tetapi kami tahu bagaimana untuk mengatasi mereka.

“Kami nampak bahawa mereka mempunyai kelemahan daripada segi benteng pertahanan, di mana ada ‘kebocoran’ sedikit, Kami akan cuba melakukan serangan dan mengeksploitasi ruang tersebut,” katanya.

Sependapat dengan itu, pemain tengah, Jeong Woo Yeong turut akui kelajuan dimiliki oleh pemain Ghana tetapi ruang di bahagian belakang yang ditinggalkan mereka bakal mewujudkn peluang untuk Korea Selatan.

“Pemain-pemain Ghana kelihatan tidak mempunyai kerja sepasukan yang baik. Kami pula bermain dengan baik semasa perlawan pembukaan jadi kami akan cuba membina itu untuk menentang mereka,” ujarnya. – Agensi/UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN