PETALING JAYA: Rafizi Ramli mencabar Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meneruskan niat menyamannya berhubung isu kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.
Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau akan tampil ke mahkamah kerana mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai penyelewengan yang berlaku.
Beliau tidak mahu surat tuntutan yang dihantar Tuan Ibrahim semalam sekadar menjadi alat kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semata-mata.
“Saya berharap Tuan Ibrahim meneruskan niat untuk menyaman saya kerana pengalaman lalu menunjukkan hanya separuh daripada surat-surat tuntutan yang dihantar kepada saya berakhir dengan saman.
“Surat-surat tuntutan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) contohnya tidak pernah berakhir dengan tindakan saman.
“Saya mahu ke mahkamah kerana ada bukti kukuh mengenai pendedahan yang dibuat,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Semalam, Tuan Ibrahim menuntut Rafizi mengemukakan permohonan maaf berhubung isu kelulusan projek rancangan tebatan banjir secara rundingan terus selepas pembubaran Parlimen.
GANTI RUGI
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu turut dituntut mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah kepada Tuan Ibrahim.
Dalam sidang akhbar itu, Rafizi turut membuktikan yang projek tebatan banjir berkenaan sebenarnya sudah diluluskan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor menerusi surat bertarikh 7 Oktober 2022.
Katanya, surat bertajuk ‘Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Selangor’ itu dihantar oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Sehubungan itu, beliau menegaskan akan melaporkan skandal berkenaan kepada pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU15.
“Saya mahu peranan, fungsi serta penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Tuan Ibrahim dalam kes ini disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
“Sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya PH membentuk kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat,” katanya.- UTUSAN