Kejutan BN tewas semua kerusi di Melaka

Kejutan BN tewas semua kerusi di Melaka

MOHAMAD ALI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kegagalan Barisan Nasional (BN) memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah sesuatu yang sangat mengejutkan dan di luar jangkaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, lebih mengecewakan apabila dua kerusi yang dilabel sebagai ‘deposit selamat’ UMNO iaitu Parlimen Jasin dan Masjid Tanah turut dirampas Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, keputusan tersebut seperti tidak masuk akal memandangkan Melaka yang menjadi kubu kuat BN sejak kemerdekaan, boleh tunduk mudah, seolah-olah menggambarkan parti itu sudah tiada kekuatan untuk berlawan.

“Satu bedah siasat perlu dilakukan bagi melihat apa yang menjadi punca sehingga rakyat seolah-olah sudah hilang kepercayaan terhadap parti. Menyuruh pemimpin itu dan ini meletakkan jawatan bukan cara yang elok selepas kekalahan teruk BN, bukan sahaja di Melaka tetapi di peringkat nasional.

“Kita harus bertenang buat masa ini, jangan ikut nafsu dan kita masih ada akal dan fikiran. Biar
pucuk pimpinan parti berbincang dan membuat keputusan untuk membetulkan semula kegagalan BN serta UMNO.

“Memang sukar untuk diterima prestasi buruk parti kita, sama juga di Melaka, macam tak habis fikir kerusi yang kita dominasi boleh tewas begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan BN di kesemua enam kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Jasin, Masjid Tanah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Alor Gajah dan Kota Melaka.

Ditanya adakah soal calon menjadi punca kekalahan teruk berkenaan, Mohamad Ali berkata, masih terlalu awal untuk merumuskan mengenai perkara tersebut.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak UMNO negeri perlu melalui penyusunan semula untuk dijadikan pilihan semua pengundi muda dan atas pagar, jika mahu bangkit semula pada PRU16.

“ini bukan masanya untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya kegagalan itu seharusnya menjadi titik tolak untuk kebangkitan semula, jika tidak UMNO pasti akan berkubur selepas ini,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN