Johor medan tempur BN-PH

Johor medan tempur BN-PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika, tiada siapa menafikan bahawa Johor merupakan kubu kuat UMNO.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) sukar ditewaskan dalam pilihan raya pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Namun, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008, parti pembangkang terutamanya DAP dan PKR mula mengukuhkan pengaruh.

Pada PRU14, kerajaan negeri pimpinan BN tumbang, sekali gus tewas di peringkat Persekutuan.

Ramai yang seakan-akan tidak percaya, malah BN mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat itu.

Namun, Langkah Sheraton yang didalangi beberapa pe­mimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri telah menumbangkan kerajaan PH selepas menguasai Putrajaya yang turut mencatatkan sejarah baharu apabila menamatkan penguasaan BN lebih 60 tahun.

Nyata, runtuhnya kerajaan PH turut memberi kesan kepada kerajaan negeri Johor. Akhirnya kerajaan negeri terpaksa diserahkan kepada kem pembangkang ketika itu BN disokong Pas dan Bersatu yang meninggalkan PH.

‘Nyawa’ yang diberikan kepada BN Johor telah digunakan sebaik-baiknya untuk mengukuhkan semula sokongan terhadap parti itu.

Nyata langkah itu terbukti berkesan apabila BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu, iaitu 40 daripada 56 kerusi DUN.

Walaupun tidak boleh dijadikan indikasi mutlak, namun momentum sokongan kepada BN masih segar dan semakin kuat yang dijangka diterjemahkan dalam PRU15.

Biarpun nampak sukar untuk mencapai sasaran 20 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan, namun BN dijangka mampu menyum­bang antara 13 hingga 15 kerusi Parlimen pada PRU15.

Antara kerusi yang dijangka mampu dimenangi BN ialah Kota Tinggi, Pengerang, Tenggara, Sembrong, Pontian, Mersing, Simpang Renggam, Ayer Hitam, Labis, Tanjung Piai, Sri Gading dan Parit Sulong.

BN tetap berpeluang untuk merampas empat kerusi lagi di kawasan bandar raya Johor Bahru, iaitu Parlimen Johor Bahru, Pulai, Pasir Gudang dan Tebrau.

Namun, semua kerusi ber­kenaan telah dimenangi oleh PH dengan majoriti besar pada PRU14. Tetapi keberanian BN menampilkan calon muka baharu, khususnya pemimpin muda di Johor Bahru, Tebrau dan Pasir Gudang, iaitu masing-masing Johor Ariffin Mohd. Ropi, Datuk Nicole Wong Siaw Ting dan Noor Azleen Ambros mampu menyaingi PH.

Keputusan mencalonkan semula Datuk Nur Jazlan Mohamed di Pulai menentang Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempertahankan kerusi berkenaan dan Loh Kah Yong, calon Perikatan Nasional (PN) dianggap tepat kerana beliau mampu menarik semula sokongan pengundi.

Berdasarkan perkembangan terkini, nyata sokongan terhadap semua calon BN di empat kawasan berkenaan semakin ‘mengejar’ lawan mereka, khususnya calon PH.

Keempat-empat kerusi berkenaan dijangka menyaksikan persaingan sengit, khususnya antara calon BN dan PH, namun keha­diran calon PN dan Gerakan Tanah Air (GTA) hanya akan memecahkan undi, khususnya dalam kalangan pengundi Me­layu.

Penganalisis politik daripada Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berpendapat, persaingan sengit adalah ketara antara BN dan PH pada PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×