'Jika Anwar jadi PM, saya mahu dilantik menteri'

‘Jika Anwar jadi PM, saya mahu dilantik menteri’

SHAMSUL Iskandar Mohd. Akin (depan, tengah) melancarkan manifesto PRU15 untuk Bagan Datuk di Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin mahu dilantik sebagai menteri jika PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15).

“Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, saya akan minta beliau melantik saya menjadi menteri supaya lebih banyak pembangunan boleh dibuat di Bagan Datuk,” katanya dalam sidang akhbar ketika melancarkan manifestonya untuk Parlimen Bagan Datuk di Hutan Melintang di sini hari ini.

Menurut beliau, antara aspek utama perlu diberi perhatian di daerah itu ialah isu infrastruktur dan penyelenggaraan prasarana awam terutama di kawasan yang berada di bawah penyeliaan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang dilihatnya tidak terurus.

“Ada sebuah kawasan perumahan yang saya pergi di sini sudah dua minggu sampah tidak diangkat (diambil), di mana Ahli Majlis (MPTI)?

“Pentadbiran (kerajaan tempatan) terlalu lemah, begitu juga masalah perparitan, kesihatan dan jeti nelayan juga,” ujarnya.

Justeru, beliau akan mencadangkan agar Bagan Datuk yang sudah menjadi sebuah daerah, mewujudkan Majlis Daerah Bagan Datuk, bukan lagi berada di bawah MPTI.

Sementara itu, beliau mengakui cabaran untuk memenangi Parlimen tersebut bukan sahaja daripada Barisan Nasional (BN) yang diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetapi juga Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Dr. Muhamad Faiz Na’aman.

Jelasnya, PN juga boleh menggugat PH dan BN kerana Pas agak berpengaruh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup dan pernah memenangi kawasan Parlimen itu selama dua penggal sebelum ini, justeru tidak boleh memandang mudah cabaran PN.

Beliau juga menolak kritikan yang menyatakannya sebagai calon luar yang tidak mengetahui cita rasa dan masalah penduduk di Bagan Datuk.

“Jika saya diberi mandat oleh rakyat Bagan Datuk, sudah tentu saya akan membuka Pusat Khidmat di sini dan jika menghadiri sidang Parlimen daripada Isnin hingga Khamis, saya akan berada di sini pada Jumaat hingga Ahad, dan sudah tentu saya akan ada rumah di sini.

“Ahmad Zahid pun sama, tinggal di Kuala Lumpur,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya