KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) yakin rakyat semakin positif menerima parti itu apabila kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memasuki minggu kedua menjelang Sabtu ini.
Calon BN Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, rakyat mula menerima BN setelah merasai 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) serta 17 bulan semasa Perikatan Nasional (PN).
“Sentimen pengundi saya tengok dari segi mana-mana saya pergi jumpa mereka ini ada positive vibes datang dari saya. Saya yakin. Saya sekali lagi menekankan undi ini hanya berlaku pada 19 November. Kita syok hari ini, kita tukar pemikiran sebab ada orang cakap macam itu, macam ini, kita pun keliru.
“Jadi kita kena kena tanamkan pemikiran kita bahawa kita nak wakil rakyat yang boleh ke depan dan belakang , bersama kita selesaikan masalah,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama penduduk flat Sri Terengganu, di sini semalam.
Selain pemilihan wakil rakyat yang berkualiti, Johari turut menegaskan bahawa pentingnya kerajaan yang kukuh dan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan rakyat dipelihara.
“Kerajaan ini, bila janji dia mesti tunaikan. Kita tidak mahu janji nak hapus tol, harga minyak turun RM1.50 memberhentikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan janjikan sejuta peluang pekerjaan dengan penghapusan GST, mereka tak lakukan.
“Jangan kena tipu kali kedua,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Johari berkata, beliau akan meneruskan kerjanya dengan bersungguh-sungguh menyelami masalah penduduk dalam Parlimen Titiwangsa sebelum akhirnya menyerahkan kepada pengundi untuk menilai dan membuat keputusan. – UTUSAN










