Isu calon PM: Taktik pembangkang keliru pengundi - Utusan Malaysia

Isu calon PM: Taktik pembangkang keliru pengundi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangkang cuba mengelirukan pengundi apabila meneruskan tohmahan kononnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bakal diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-10 jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam temu bual eksklusif bersama portal Free Malaysia Today (FMT), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) itu secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak ada idea sehingga terpaksa mengitar semula isu Perdana Menteri daripada BN.

Ismail Sabri yang juga Naib Pre­siden UMNO berkata, toh­mahan itu juga bertujuan me­mecah­belahkan kepimpinan UMNO dan BN walaupun mereka mengetahui beliau adalah satu-satunya pemimpin yang diisytiharkan sebagai calon Perdana Menteri oleh UMNO dan BN.

“Mereka cuba menimbulkan kekeliruan (dalam kala­ngan pengundi) dan tentu juga mereka mahu supaya kepimpinan BN dan UMNO berpecah. Mereka nampak tak ada isu lain yang boleh mereka gunakan. Hanya menggunakan isu PM ini sahaja.

“Mereka (parti lawan) cuba menggambarkan (kemungkinan) saya tak menjadi PM (supaya) menurunkan sokongan kepada BN. Mereka mungkin takut saya (sebagai) calon PM. Saya anggap…ia boleh menjadi satu kekuatan untuk saya menarik pengundi (kepada) BN,” kata beliau seperti dipetik da­ripada FMT semalam.

Oleh itu, kata Ismail Sabri, tindakan pembangkang tidak wajar kerana mahu menidak-kan keputusan pelbagai peringkat dalam UMNO dan BN berhubung calon Perdana Menteri dipilih partinya.

DIPUTUSKAN

“Keputusan untuk mencalonkan saya sebagai Perdana Menteri diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO, biro politik UMNO dan ketika Perhimpunan Agung UMNO malah turut disambut oleh parti-parti komponen dalam BN,” kata beliau.

Kata beliau, keputusan tersebut turut diterima seluruh kepemimpinan BN, termasuk Pengerusi dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan semua pemimpin besar lain.

“Secara jelas saya satu-satunya calon Perdana Menteri Ke-10 daripada BN,” kata beliau.
Calon kerusi Parlimen Bera itu berkata, tindakan pembangkang tersebut turut me­nunjukkan pembangkang kini semakin terdesak untuk me­raih sokongan menjelang hari pengundian Sabtu ini.

“Isu saya bukan calon Perdana Menteri ini juga digunakan untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi terhadap kemampuan BN mewujudkan kestabilan iaitu mesej utama gabungan itu dalam kempen PRU15,” katanya.

Bagaimanapun, tegas Ismail Sabri, sejarah telah membuktikan bagaimana kerajaan 22 bulan dipimpin PH manakala kerajaan 17 bulan diketuai PN tidak mampu menghasilkan kerajaan stabil.

“Manifesto kita bukan sahaja menyentuh soal ekonomi tetapi transformasi institusi,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×