BATU PAHAT: Kepimpinan UMNO Johor menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional diberi mandat membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, seluruh kepimpinan UMNO bahagian di negeri ini menyatakan sokongan tanpa berbelah-bahagi kepada Ismail Sabri untuk terus memimpin negara sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, sokongan itu dinyatakan dalam Persidangan UMNO Bahagian masing-masing sebelum ini.
Menurut beliau, Ismail Sabri sentiasa komited membangunkan negara, khususnya dalam memperkasakan dan memulihkan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.
`’Saya beberapa kali mengikuti rombongan Perdana Menteri ke luar negara, beliau begitu komited memperkenalkan negara di persada antarabangsa.
“Kita di Johor memang beri sokongan padu kepada Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Parlimen Ayer Hitam, di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapannya turut menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri terus memimpin negara.
Malah, pelbagai peruntukan telah diberikan kepada Johor semasa beliau menerajui negara, katanya.
“Kita di Johor memang sokong Datuk Seri Ismail Sabri terus memimpin negara sebagai Perdana Menteri,” kata Onn Hafiz.- UTUSAN