Gombak tidak mudah, tapi tiada yang mustahil - Megat Zulkarnain

Gombak tidak mudah, tapi tiada yang mustahil – Megat Zulkarnain

Megat Zulkarnain Omardin menyantuni penduduk Taman Keramat Permai di Surau Al-Hidayah, Gombak. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEHADIRAN Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang bertanding merebut kerusi Parlimen itu bukan satu yang mengejutkan. Sebagai anak jati Gombak, beliau dilihat sebagai calon yang layak.

Namun bertanding atas tiket Barisan Nasional memberi tugas dan tanggungjawab lebih berat buat beliau apatah lagi melihatkan fasa kejatuhan gagasan itu selepas rakyat menolak kerajaan di bawah kepimpinan itu.

Malah, ‘peperangan’  lima penjuru dan misi memecahkan tembok tiga penggal yang dipegang penyandang, Datuk Seri Azmin Ali (PN) bukan satu tugas mudah. 

Wartawan Utusan Malaysia, ALIF FADLI MOHD. SORI baru-baru ini mendapatkan pandangan beliau berhubung pelbagai isu berbangkit termasuk perubahan yang bakal dilakukan sekiranya BN berjaya menakluk semula Gombak.

UTUSAN: Gombak dianggap kerusi panas. Merebut kerusi daripada dua calon heavyweight, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Amirudin Shari selain berdepan dua penjuru lagi. Adakah Datuk yakin mendapat kepercayaan dan sokongan pengundi? 

Saya akui mereka memegang jawatan yang tinggi. Dua-dua orang besar. Saya tidak ada kemampuan itu, cuma tawaran perkhidmatan dan semangat jentera BN. Bukan mudah, tetapi tiada yang mustahil.

Orang Gombak profesional. Mereka melihat score card setiap calon. Lebih 30 peratus memilih calon, bukan parti. Saya juga bukan bermula hari ini. Sebagai anak jati Gombak, khidmat itu sudah ada berpuluh tahun sejak dulu.

Saya sebelum ini tidak mahu bertanding. Saya hantar lima nama lain sebagai calon Gombak. Tetapi apabila saya jumpa Presiden UMNO, saya diminta untuk bertanding. Sebagai seorang pendekar, saya sahut cabaran itu.

Adakah sasaran terarah kepada pengundi muda dan atas pagar? Mereka tidak melihat populariti sebaliknya khidmat yang boleh ditawarkan. Komen?

Pengundi muda khususnya mereka yang atas pagar memiliki tahap pemikiran berbeza. Mereka tahu apa yang dimahukan. Mereka mengkaji setiap tawaran dengan melihat dari sudut jangka masa yang panjang.

Saya sentiasa dekat dengan pemuda di sini kerana sebagai Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), hubungan dengan pemuda menerusi aktiviti sukan itu sudah terjalin.

Saya juga percaya, pengundi khususnya muda sudah melihat bagaimana mereka mentadbir negara dalam tempoh 22 bulan. Pelbagai janji ditabur tetapi pelaksanaannya tiada. BN adalah penyelesaian.

BN telah melalui satu fasa kejatuhan yang cukup mengejutkan. Tanggapan dan persepsi kurang baik terhadap BN ditanam oleh parti-parti lain. Satu tugas berat untuk Datuk. Bagaimana mahu pulih nama BN di Gombak khususnya?

 Saya bukan seorang yang punya keperibadian begitu. Saya bukan perompak, sakau dan penyamun. Saya tidak jumpa mana-mana pemimpin bawa surat minta itu ini. Saya tegas dan lantang.

Saya dididik cara persilatan, berani kerana benar. Kenapa saya masuk UMNO? Kerana wadah perjuangan itu. UMNO tak pernah salah. Jangan samakan semua dalam bakul sama. Tak adil untuk kita samakan seluruh ahli sama perangai.

Tetapi saya percaya, momentum keyakinan terhadap BN sudah meningkat. Perbezaan cukup ketara berbanding PRU14. Saya suka pergi berkempen secara rambang. Rakyat sekarang lebih terbuka dan mereka tahu kelebihan serta kekuatan calon yang bertanding.

Apakah perubahan yang akan dilakukan oleh Datuk sekiranya berjaya memenangi kerusi Parlimen Gombak?

Saya memberi fokus dan tumpuan kepada beberapa aspek utama yang akan dibentangkan tidak lama lagi. Pendidikan, perumahan, ekonomi dan sosial antara intipati yang bakal mengubah senario pembangunan Gombak.

Dari segi pendidikan, sekiranya BN menang, kuota 30 peratus kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada anak Gombak yang layak akan diwujudkan. Itu bukan sesuatu yang mustahil.

Saya juga akan menyentuh aspek perumahan dan penempatan. Tidak ada satu rumah mampu milik yang boleh dibeli oleh orang Gombak. Dua orang sudah calon Menteri Besar, tidak ada perubahan.

Trend berkempen menyerang isu peribadi calon-calon yang bertanding, bagaimana Datuk melihat apabila ada segelintir mereka selesa menggunakan taktik sebegitu?

Saya rasa mungkin mereka sudah hilang idea. Mereka suka guna permainan politik kotor sebegitu. Saya memilih untuk tidak menyerang peribadi. Fokus kerja, kempen dan tawaran perkhidmatan.

Saya tidak mahu ambil tahu tentang masalah ‘dalaman’ antara calon-calon yang bertanding di sini (Gombak). Rakyat sedang menilai. Mereka mengkaji karakter dan setiap tawaran. 

Ada yang cakap saya macam ular sawa, tunggu mahu belit dua orang yang sedang ‘bercakar’. Tidak sama sekali. Mereka seperti adik-beradik, pernah duduk bawah bumbung sama. Saya tak masuk campur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN