SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Jalil meluahkan rasa syukur dan gembira dengan sambutan hangat warga Shah Alam dalam kalangan M40 terhadap dirinya dan parti.
Menurutnya, pada pusingan kedua kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau menemui ribuan pengundi termasuk golongan tersebut.
“Kita mengambil pendekatan kempen secara positif dan saya bersalam dan menemui seribu pengundi setiap kali kempen jelajah dan semuanya baik, membalas senyuman saya. Setakat ini, kita sudah melakukan lapan kali jelajah.
“Dalam manifesto BN yang diumumkan baru-baru ini turut menawarkan pengecualian cukai untuk golongan M40 dan ia disambut baik oleh golongan tersebut yang kebanyakannya peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Senam Robik & Makan Durian di Seksyen 8 hari ini.
Hizatul Isham berkata, pihaknya mendengar segala keluhan golongan M40 yang menghadapi masalah kewangan sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara kira-kira dua tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau sedar bahawa kawasan Shah Alam adalah kawasan Pakatan Harapan (PH) dan tidak menyangka sambutan yang diterima oleh pengundi, amat luar biasa.
“Sebelum ini selama seminggu kita turun padang di kawasan B40. Pada hari ke sembilan, kita akan memasuki kawasan M40.
“Berdasarkan kempen positif dan tidak menyerang peribadi calon yang kita jalankan, insya-Allah kita akan dapat memenangi Parlimen Shah Alam pada PRU15 kali ini,” katanya. –UTUSAN