fbpx

England optimis, Kane sedia beraksi

Skuad England berlatih menjelang perlawanan kedua Kumpulan B menentang Amerika Syarikat, esok. – AFP

DOHA: England optimis kapten pasukan, Harry Kane bersedia diturunkan menentang Amerika Syarikat (AS) pada perlawanan kedua Kumpulan B, esok.

Kane sebelum ini mencetuskan kebimbangan terhadap pasukan dan penyokongnya apabila imbasan terpaksa dibuat pada buku lalinya selepas cedera semasa kemenangan 6-2 ke atas Iran, Isnin lalu.

Kane cedera akibat diterjah pemain pertahanan Iran, Morteza Pouraliganji pada minit ke-48 dan melalui laporan daripada imbasan yang dilakukan ia menunjukkan penyerang tersebut tidak bermasalah untuk beraksi.

Penjaga gol England, Jordan Pickford berkata, Kane yang turun ke sesi latihan adalah petanda baik buat pasukan untuk meneruskan kejuaraan dunia.

“Saya rasa Harry berada dalam keadaan yang baik, mungkin ha­nya mengalami kesakitan sedikit tetapi saya pasti dia baik-baik sahaja, beliau berada di atas rumput (latihan) dengan kami hari ini yang mana ia adalah petanda baik. Dia adalah kapten kami,” katanya.

Keadaan pergelangan kaki Kane menjadi ‘titik silam’ buat pemain tersebut sejak 2016 dan 2019 yang mana dia berhadapan kecederaan ligamen.

Usaha Kane baru-baru ini untuk merawat kecederaannya di fisioterapi swasta membuahkan hasil apabila ketahanannya untuk terus bermain berada di peringkat yang baik.

Bagaimanapun, pemain tengah England, James Maddison yang mengalami kecederaan di bahagian lutut masih tidak dapat berlatih bersama pasukannya semalam, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada pemain Leicester City itu dapat beraksi.

Justeru, Pickford menyeru England terus bertahan dan memberi lebih fokus semasa menentang AS.
“Sebagai keseluruhan pasukan, kami mahu kekalkan pastikan pihak lawan tidak dapat menjaringkan gol kerana ia penting sepanjang kejohanan bola sepak dunia ini berlangsung.

“Kita sudah 4-0 tetapi mereka (Iran) meraih sepakan penaltI. Oleh itu, saya berharap semasa perlawanan menentang AS, kami dapat mempertahankan gawang gol daripada di bolos pihak lawan,” katanya. – Agensi/UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received