MUKADIMAH
DR. N. SATHIA PRAKASH, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor tidak asing dalam kalangan penduduk Rawang yang berbilang bangsa dan budaya.
Doktor perubatan itu mewarisi jiwa kepemimpinan bapanya seorang penjawat awam yang berdedikasi selain didikan ibunya menjadikan beliau sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan diri sendiri.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, doktor yang memiliki 11 buah klinik di wilayah Gombak dan Hulu Selangor itu sedar politik adalah medium terbaik baginya meluaskan hasrat berbakti kepada masyarakat berbilang bangsa, terutama membantu anak muda mendapat peluang yang adil di negara ini.
UTUSAN: Apa perbezaan mengendalikan sebuah syarikat dan menguruskan politik?
DR. SATHIA PRAKASH: Tiada beza tetapi harus tahu menguruskan kemahiran, yang akhirnya tentu sekali bagaimana untuk prospekkan diri kita. Kalau cara perhubungan awam (PR) kita itu tidak terurus, bagaimana mesej itu mahu dibawa dan dibangkitkan ke Parlimen.
Apa antara isu dibangkitkan Dr. sepanjang berkempen?
Untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) PH lebih terbuka. Semua kaum terkesan dengan kos hidup. Jangan fikir ia dialami masyarakat India dan Cina sahaja. Kita harus jujur, orang Melayu pun hidup tak selesa. Di sini bidang pertanian, penternakan dan agro pertanian menjadi isu. Perkara kedua, peluang pekerjaan. Ada 5,000 kilang, yang terbesar kilang Perodua. Kita perlu perbanyak peluang pekerjaan. Isu perumahan pula, ramai tiada rumah sendiri. Ini kerana harga rumah RM70,000 atau RM80,000 sudah tiada lagi. Sentuhan ekonomi penting selain pengalaman kerja.
Bagaimana Dr. melihat isu kewarganegaraan yang kerap dibangkitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)?
Isu kewarganegaraan sepatutnya diuruskan dengan mudah. Kes-kes yang tertangguh, selesaikan. Benarkan ibu bapa terus daftarkan kelahiran di hospital di Semenanjung atau pedalaman Sabah dan Sarawak. Jadi, tidak ada isu pendaftaran untuk dapatkan sijil kelahiran. Demikian juga di Sabah dan Sarawak, isu tiada surat beranak tidak sepatutnya timbul jika anak dilahirkan terus ditunjukkan untuk memperoleh sijil kelahiran.
Selain isu peluang pekerjaan dan rumah mampu milik, kita melihat ramai anak muda muflis. Boleh komen isu ini?
Masalahnya ramai yang berhutang kad kredit kerana mereka dibenarkan memilikinya di usia muda. Sepatutnya pihak berkuasa usahakan pendidikan untuk mengekang ancaman ini. Sekarang ini bila tidak ada kerja, penghutang kad kredit ini mula bankrap. Kes- kes seumpama ini banyak diperkata semasa tempoh dua tahun pandemik Covid-19.
Bagaimana Dr. melihat mekanisme membendung ketagihan dadah, arak dan gangsterism selama ini. Apakah kerajaan sekarang kuat untuk atasi masalah ini?
Mekanisme untuk membendung tiga isu ini ada tetapi tidak cukup. Jika kita abaikan gejala yang melanda anak muda, tentunya kelak akan berjangkit dan kita tidak mahu mereka terbabit dalam kegiatan kumpulan ini.- UTUSAN










