DAP percaya Anwar, tiada kerjasama PKR-UMNO

DAP percaya Anwar, tiada kerjasama PKR-UMNO

GOBIND Singh Deo (tengah) menyertai program 'walkabout' Liew Chin Tong di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: DAP yakin bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada rancangan kerjasama rahsia dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bagi menubuhkan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo yakin Anwar dan PKR akan menghormati perjanjian kerjasama PH yang telah sedia terjalin.

Beliau yang juga calon PH di kerusi Parlimen Damansara berkata, semua parti komponen PH komited dengan fokus untuk membentuk kerajaan melibatkan gabungan itu dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pasca PRU15.

“(Tiada kerjasama antara Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi). Itu kenyataan yang telah dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu pendirian beliau. Kita (PH) jelas, kita masuk PRU ini sebagai sebuah pasukan dengan Muda untuk membentuk kerajaan Pusat dalam kerangka gabungan itu.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjawab soalan itu. Jadi, saya rasa cukup, adalah penting untuk kita tumpu kepada apa yang beliau katakan dan beliau sudah membuat kenyataan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai ‘walkabout’ calon PH di Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong di Gelang Patah, di sini hari ini.

Sementara itu, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor memberitahu, dakwaan kerjasama antara Anwar dan Zahid Hamidi adalah satu perang psikologi yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) untuk memperdayakan pengundi.

“Ini daripada PN, mereka lupa kini sudah ada Akta Anti Lompat Parti dan semua calon PH yang bertanding dalam PRU15 ini adalah menggunakan tiket PH. Jadi, kita semua bergerak sebagai sebuah pasukan,” katanya.

Pada 8 November lalu, Anwar menafikan beliau akan menjalin kerjasama dengan Ahmad Zahid bagi membentuk kerajaan pasca PRU15.

Dakwaan itu hanyalah propaganda politik baharu yang dimainkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN