Calon BN Tanah Merah janji bela nasib anak muda, ibu tunggal - Utusan Malaysia

Calon BN Tanah Merah janji bela nasib anak muda, ibu tunggal

MOHD. Bakri Mustapa (tengah) berikrar membawa perubahan Parlimen Tanah Merah jika diberi mandat pada PRU15 . – UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanah Merah, Mohd. Bakri Mustapa tidak gentar berdepan dengan bekas ‘bos’ iaitu penyandang kerusi kawasan itu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz daripada Perikatan Nasional (PN) pada Pi­lihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, Ikmal Hisyam yang memenangi kerusi atas tiket BN adalah Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah namun keluar menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sementara Mohd. Bakri ketika itu adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Bakri berkata, walaupun pernah bersama Ikmal Hisyam pada PRU14, beliau menawarkan diri bertanding kerana mahu membawa perubahan terhadap kawasan itu yang merupakan tanah kelahirannya.

Menurut beliau, pada masa sama beliau mahu mempertahankan kerusi tersebut yang merupakan kubu BN pada PRU14.

“Saya ingin membawa perubahan di Parlimen Tanah Merah dan memastikan isu kemiskinan dan peluang pekerjaan dikete­ngahkan.

“Kita lihat golongan muda ramai berhijrah keluar dari Kelantan kerana tiada kerja, maka jika diberi mandat oleh rakyat, saya akan bawa perubahan besar untuk mereka dan bantu golongan muda dengan menyediakan peluang niaga di parlimen ini,” katanya.

Mohd.Bakri berkata, selain membela nasib anak muda, BN turut memberi tumpuan kepada golongan ibu tunggal dan mereka yang kurang berkemampuan akan turut diberikan perhatian.

“Kita akan mendekati golo­ngan ibu tunggal yang memerlukan perbelanjaan ekoran terpaksa menyara keluarga dan pada masa yang sama mereka turut menjadi ketua keluarga.

“Harapan kita jika diberi mandat kali ini, maka kita akan turun membela nasib golongan ini bagi memastikan mereka dapat ke­luar daripada kepompong kemiskinan,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×