Brazil tidak goyah tanpa Neymar

Brazil tidak goyah tanpa Neymar

Neymar diterjah pemain Serbia, Dusan Tadic dalam perlawanan sebelum ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Brazil hampir pasti menurunkan kesebelasan utama menentang Switzerland tanpa kelibat ayam tambatannya, Neymar yang belum menunjukkan tanda-tanda buku lalinya akan pulih menjelang aksi esok.

Jumaat lalu, Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) mengesahkan Neymar dan bek kanan, Danilo yang juga mengalami kecederaan buku lali akan terlepas perlawanan kedua pasukan itu, malah kedua-duanya juga akan direhatkan pada aksi terakhir kumpulan menentang Cameroon.

Doktor pasukan Selecao, Rodrigo Lasmar ketika mengulas kecederaan Neymar berkata, keputusan imbasan menunjukkan ligamen buku lali kanan pemain itu cedera selain menjejaskan sedikit tulang kakinya.

“Begitu juga dengan Danilo. Kedua-dua pemain ini sedang menjalani rawatan pemulihan. Mereka tidak boleh bermain untuk perlawanan akan datang tetapi kami sedang berusaha sedaya mungkin memberi rawatan untuk membolehkan mereka kembali ke padang,” katanya.

Sementara itu, bintang muda sedang meningkat naik, Rodrygo, 21, dianggap pemain paling sesuai untuk mengambil alih posisi Neymar, esok.

Rakan sepasukannya, Casemiro yang turut memuji persembahan Rodrygo berkata, Piala Dunia 2022 merupakan pentas yang baik untuk pemain itu menunjukkan bakatnya.

“Rodrygo mengagumkan saya. Dia mempunyai ciri-ciri pemain bertaraf bintang. Dia dilahirkan dengan bakat hebat bermain bola. Saya seronok melihat cara dia bermain,” kata Casemiro.

Rodrygo selalunya bermain di sayap atau posisi tengah, namun jurulatih jurulatihnya di kelab dia bermain dan kebanyakan jurulatih lain bersependapat Rodrygo mampu mengambil peranan di mana-mana sahaja posisi serangan, termasuk peranan Neymar.

Selain Rodrygo, Casimero turut menyifatkan pemain tengah West Ham, Lucas Paqueta turut berbakat untuk membarisi kesebelasan Brazil.

“Dia semakin hebat dan dinamik. Dia boleh memikul peranan di tengah. Saya rasa bertuah jika dapat berganding dengannya,” ujarnya.
Sementara itu, bek tengah Switzerland, Nico Elvedi berkata, pasukannya tidak gentar bertemu juara dunia lima kali itu kerana mereka telah bersedia dari awal untuk mencari kemenangan menentang pasukan pilihan itu.

“Semua pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia berpotensi untuk dikalahkan. Tiada pasukan yang kebal. Kami tahu cabaran berdepan Brazil tapi kami tidak akan berasa rendah diri kerana kami tahu kualiti kami. Kami akan buktikan,” katanya.

Ketika menentang Cameroon sebelum ini, Switzerland menang 1-0 hasil jaringan Breel Embolo.

“Kemenangan ini membakar semangat kami dan keyakinan kami semakin tinggi,” ujarnya.

Switzerland sebelum ini layak ke pusingan kalah mati dalam empat daripada lima penampilan pasukan itu di Piala Dunia.

Pasukan Eropah itu perlu mengelak daripada menjadi mangsa gergasi Amerika Selatan itu bagi meletakkan dalam keadaan selesa kerana mereka bakal bertemu dengan ancaman Serbia selepas ini.

Menurut Elvedi, pasukannya mungkin mendapat sedikit tuah daripada ketiadaan Neymar dalam kesebelasan Brazil akibat kecederaan.

“Namun, ia tidak banyak memberi peluang kepada kami (Switzerland). Mereka (Brazil) mempunyai ramai pemain yang beraksi di semua posisi. Seperti biasa cabaran adalah sengit dan ketiadaan Neymar tidak bermakna saya dapat tidur lena.

“Kami tahu kemampuan lawan kerana Brazil adalah pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan ini. Namun, kami memandang ke hadapan. Kami mampu menjadi tumpuan dalam perlawanan esok” ujarnya. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya