BN tidak janji kehidupan 'alam kayangan' dalam manifesto

BN tidak janji kehidupan ‘alam kayangan’ dalam manifesto

ASYRAF Wajdi Dusuki (depan) bersama penduduk ketika walkabout di Kampung Padang Stang, Gerik. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Barisan Nasional (BN) menampilkan manifesto terbaik yang merangkumi setiap aspek keperluan rakyat.

Calon BN Parlimen Gerik, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, manifesto bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu dilihat lebih lengkap dan komprehensif berbanding parti lain tanpa menawarkan janji bulan dan bintang.

“Ketiga-tiga parti sudah selesai membentangkan manifesto masing-masing. Saya percaya manifesto BN adalah yang paling komprehensif dan mencakupi setiap aspek keperluan rakyat.

“BN tidak menawarkan bulan dan bintang. BN tidak menjanjikan kehidupan alam kayangan. BN tidak mendondangkan manifesto palsu untuk akhirnya dimungkiri dengan pelbagai alasan.

“Tetapi, kami menawarkan sesuatu yang telah terbukti mampu dilaksanakan. Semua ini kami yakinkan melalui rekod dan pencapaian pada zaman BN menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, BN akan memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu sekali gus membentuk kestabilan dan kemakmuran dalam negara.

“Kami sentiasa percaya kepada kebijaksanaan dan timbang tara rakyat. Kami tahu rakyat pasti boleh membezakan antara kaca dan permata.

“Tempoh 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat merosakkan, malah, 17 bulan di bawah kerajaan darurat Perikatan Nasional (PN) pula amat melelahkan.

“Insya-Allah, BN akan memperbaikinya semula dengan kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan manifesto parti itu yang ‘menghidangkan’ lebih 10 teras dan aku janji untuk rakyat. 

Ahmad Zahid berkata, parti itu akan menawarkan lebih 90 tawaran untuk dinikmati pelbagai lapisan masyarakat daripada kumpulan minoriti sehingga yang majoriti. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN