PRU15: BN tidak boleh halang Ismail jadi calon PN

PRU15: BN tidak boleh halang Ismail jadi calon PN

WAN ROSDY Wan Ismail (empat dari kiri) menyampaikan cek bantuan kerajaan negeri kepada seorang penduduk selepas Majlis Pelancaran Projek Penternakan Ayam Felcra Berhad di Jerangsang di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Barisan Nasional (BN) negeri tidak boleh menghalang penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib untuk bertanding di situ bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setelah tidak dicalonkan semula oleh BN, bukan sahaja Ismail malah semua calon berhak bertanding berasaskan prinsip demokrasi menerusi parti pilihan masing-masing.

“Kita tidak boleh halang sebab beliau dicalonkan oleh pemimpin tertinggi PN dan beliau memilih untuk mewakili gabungan itu.

“Kita tidak boleh menghalang kerana beliau rasa layak untuk mempertahankan kerusi Parlimen Maran yang dimenangi sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dan Penyerahan Tapak Projek Penternakan Ayam Felcra di Sungai Damak Jerangsang Mukim Tanjung Besar, Benta di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ismail akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran atas tiket PN.

BN mencalonkan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin untuk bertanding di kerusi Parlimen Maran pada PRU15, 19 November ini.

Wan Rosdy berkata, beliau yakin UMNO Bahagian Maran telah bersiap siaga menerusi kempen yang diatur selepas penamaan calon esok sehinggalah hari pengundian.

“Saya yakin BN akan memenangi kerusi Maran serta kawasan lain menerusi calon dipilih oleh pucuk pimpinan parti yang merupakan mereka yang berwibawa dan dekat di hati pengundi berasaskan kerja keras yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Ditanya tentang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka yang belum diumum calonnya setakat ini, Wan Rosdy enggan mengulas calon yang akan bertanding di situ dan meminta tunggu sehingga hari penamaan calon esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN