POLITIK Pahang masih stabil dan kuat berkisar soal Melayu-Islam hingga menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaannya walaupun berlaku ‘tsunami politik’ hingga menyebabkan kebanyakan negeri tumbang dan tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pada PRU15, BN dijangka terus dominan dan mengekalkan pengaruh di negeri ini kerana disokong faktor sudah lama menguasai Pahang.
Ia difahamkan turut disokong imej Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dikatakan bersih dan berkarisma juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kelangsungan BN di negeri ini.
Kehadiran Perikatan Nasional (PN), gabungan utama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilihat bukan ancaman besar buat BN kerana Bersatu boleh dikatakan masih tiada tempat di negeri ini.
Pada PRU14, Bersatu mempertaruh 15 calon bertanding di enam kerusi Parlimen iaitu Lipis, Jerantut, Paya Besar, Pekan, Maran dan Kuala Krau serta sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Padang Tengku, Tahan, Peramu Jaya, Bebar, Chenor, Jenderak, Kemayan, Bukit Ibam dan Muadzam Shah.
Malangnya, tiada satu kerusi pun dimenangi calon Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) bertanding menggunakan logo PKR sama ada di Parlimen dan DUN.
Cumanya, jangkaan pada PRU15 ini, kehadiran PN di Pahang akan menyebabkan potensi untuk BN menang besar mungkin berkurangan kerana undi Melayu terpecah, untuk PN menang kerusi Parlimen ia dilihat agak sukar.
BN dijangka terus mengekalkan sembilan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 lalu iaitu di Paya Besar, Maran, Jerantut, Cameron Highland, Lipis, Bera, Kuala Krau, Rompin dan Pekan.
Bagi PN pula, walaupun mencalonkan penyandang Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib, namun sokongan pengundi di situ dijangka kekal memilih BN pada PRU15 ini.
Ini kerana seperti kata Wan Rosdy, sokongan ahli UMNO kepada Ismail Muttalib tidak solid, hanya sekitar 25 ke 30 peratus setelah beliau memilih bertanding atas tiket PN apabila tidak dicalonkan semula oleh BN.
Peluang Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar untuk mempertahan kerusi Parlimen Indera Mahkota yang dimenangi pada PRU14 lalu dilihat agak sukar kerana ia dimenangi atas tiket PKR yang mewakili gabungan PH.
Bagi PH pula, gabungan itu dijangka terus menang di kerusi membabitkan kawasan bandar, pinggir bandar dan juga kawasan yang mana pengundi Cina adalah lebih dominan.
Pada PRU14 lalu, PH menang lima kerusi Parlimen iaitu Kuantan (PKR), Indera Mahkota (PKR), Raub (DAP), Bentong (DAP) dan Temerloh diwakili Parti Amanah Negara (Amanah).
Dominasi PH pada PRU15 ini dijangka terus kekal di kerusi Parlimen Bentong apabila DAP mempertaruh calon Melayu, Young Syefura Othman atau mesra dipanggil Rara bagi menentang Tan Sri Liow Tiong Lai (BN) yang tewas kepada Wong Tuck pada PRU14.
Biarpun berlaku kemelut pemilihan calon PH di Bentong sehingga Wong Tuck bertanding atas tiket Bebas pada PRU15 ini, namun ia dilihat tidak menjejaskan peluang PH khususnya DAP untuk terus mempertahan kerusi Parlimen itu.
PH juga dijangka terus mempertahan kerusi Parlimen Raub yang dimenangi dengan majoriti 3,159 undi pada PRU14.
Bagi Parlimen Kuantan, Indera Mahkota dan Temerloh, tiga kerusi ini masih berstatus kelabu kerana persaingannya cukup sengit antara PH dan BN.
Untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), akan ada sokongan terhadap parti diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad ini, namun ia dijangka tidak mampu menggugat BN, PH dan PN, ia sekadar memecah undi Melayu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, semestinya dalam konteks negeri ini, BN dilihat lebih dominan disokong faktor sudah lama mendominasi Pahang.
Namun beliau berkata, kemunculan PN sebagai seteru baharu menyebabkan potensi BN untuk menang besar mungkin berkurangan.
“Pastinya undi kelompok Melayu-Islam terpecah kerana pengaruh PN juga besar memandangkan kedua-duanya pernah bekerjasama sebelum ini.
“PH pula lebih mempunyai potensi untuk menang di kerusi bandar, pinggir bandar dan juga kawasan di mana pengundi Cina lebih dominan seperti mana prestasi sebelum ini,” katanya.
Pada PRU15 ini, jumlah pengundi berdaftar adalah seramai 1,136,944 mencatatkan peningkatan seramai 312,963 orang berbanding 823,981 pemilih pada PRU14. – UTUSAN










