Bersediakah kerajaan baharu bayar pampasan, kos mansuh tol?

Bersediakah kerajaan baharu bayar pampasan, kos mansuh tol?

Orang ramai boleh mengguna kad debit untuk membayar tol di 11 lebuh raya mulai hari ini. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemansuhan tol lebuh raya bukan tindakan yang tepat bagi parti yang membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ketika ekonomi tidak menentu.

Banyak perkara yang perlu difikirkan termasuk kesediaan kerajaan yang mendapat mandat untuk kehilangan punca pendapatan, membayar pampasan kepada konsesi dan menanggung kos penyelenggaraan serta pengoperasian lebuh raya terlibat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi terlibat bukanlah sedikit sekiranya perjanjian dibatalkan.

Katanya, ia berjumlah puluhan juta ringgit dan sudah pasti memberi kesan kepada kewangan negara dan pada masa yang sama kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan menguruskan lebuh raya terbabit.

“Saya berpendapat tiada tol bukan sahaja isu kehilangan pendapatan negara tetapi memberi persoalan apakah kita bersedia dengan kos pengoperasian yang mungkin jauh lebih besar dari bayaran penyelenggaraan sedia ada.

“Selain itu, sudah bersediakah kita membelanjakan sejumlah wang untuk membayar pampasan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat konsesi terlibat,” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, tumpuan perlu diberikan dalam menjana pendapatan baharu atau menambah baik pendapatan sedia ada dalam keadaan ekonomi yang masih samar.

Jelasnya, pihak yang terlibat perlu mencari kata sepakat dalam membawa kemakmuran negara dan tidak memainkan isu pemansuhan tol.

“Banyak lagi isu utama seperti kemiskinan; isu akses kepada kewangan; akses kepada teknologi dan pembangunan mampan yang menjadi cabaran terkini selepas pandemik perlu diberi perhatian pihak terbabit.

“Rakyat masih memerlukan pelbagai bantuan dalam memastikan kelangsungan hidup atau pun perniagaan dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, cadangan memansuhkan tol bukanlah tindakan yang tepat kerana kerajaan bakal kehilangan pendapatan melalui cukai yang dikenakan ke atas konsesi.

Sebaliknya beliau mencadangkan agar kadar tol dikurangkan diantara 30 hingga 50 peratus sekiranya parti yang mendapat mandat berhasrat untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Perkara yang paling merisaukan adalah kos penyelenggaraan dan jika tol dimansuhkan adakah kerajaan akan menanggung kos itu dan adakah jalan di lebuhraya ini akan terjaga.

“Bagi saya apa yang boleh dilakukan adalah mengurangkan kadar bayaran tol dengan permulaan 30 peratus dan kemudian sedikit-demi sedikit kepada 50 peratus,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan (PH) sedia memansuhkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jika diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU 15.

Katanya ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan, PH telah berjaya mengurangkan bayaran tol sebanyak 18 peratus dan boleh menghapuskan tol lebuh raya itu jika diberikan tempoh mentadbir selama lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN