Beri mandat mencukupi kepada BN elak ketidakstabilan politik -

Beri mandat mencukupi kepada BN elak ketidakstabilan politik – Zahid

AHMAD Zahid Hamidi bersalam dengan peserta pertandingan futsal di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Rakyat perlu memberi mandat yang mencukupi untuk Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan bersendirian bagi mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN membuktikan keupayaannya mentadbir negara selama 62 tahun dengan aman tanpa berlaku pergolakan dan pertelingkahan politik apabila diberi mandat yang mencukupi oleh rakyat.

Bagaimanapun, ujar beliau, apabila BN tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan, maka, berlaku ketidaktentuan politik dan hanya mampu bertahan 22 bulan sahaja.

“Dengan izin Allah, selama 62 tahun kita mentadbir negara, Alhamdulillah, aman damai.

“(Tetapi) tengoklah bila kita tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, itulah yang berlaku ketika zaman PH selama 22 bulan, semua janji tidak dipenuhi, kita pun tahu, dan zaman PN (Perikatan Nasional) makin teruk.

“Jadi, untuk mengelakkan kesengsaraan rakyat, mari bertukar balik kepada BN,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Program Kenduri Sekampung dan pertandingan memancing di Kampung Sungai Nipah Baroh di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menjangkakan BN tidak akan memperoleh bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dalam PRU15 ini.

Justeru, beliau dipetik sebagai mendakwa BN dan UMNO akan berunding dengan parti lain untuk membentuk kerajaan dengan PH dijangka menjadi pilihan, katanya dalam satu program di Johor. 

Menurut Ahmad Zahid, PN gagal memerintah negara ketika diberi peluang selama 17 bulan, justeru, mereka yang mengundi parti tersebut seolah-olah memilih untuk berada di bawah kerajaan yang gagal.

“Jadi, rakyat Malaysia cukup-cukuplah dengan kerajaan PN yang gagal, nanti banyak pula penyakit baharu sampai.

“Cukuplah 17 bulan itu. Jadi, yang menyesal itu BN sudah maafkan, kembalilah kepada BN,” jelas Presiden UMNO itu.

Mengenai Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka datang berkempen ke Bagan Datuk esok, Ahmad Zahid memaklumkan, penduduk di situ mengucapkan selamat datang kepada Presiden PKR itu.

“Cakap yang baik-baik, insya-Allah kita akan terima (kehadirannya),” terang beliau. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya