'Baby' nanas ditambah pemanis tanpa zat? - Utusan Malaysia

‘Baby’ nanas ditambah pemanis tanpa zat?

'BABY nanas’ pernah tular pada tahun 2017 dan 2019 didakwa mengandungi siklamat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) meningkatkan pemantauan buah nanas di pasaran tempatan sejak tahun 2017 ekoran isu buah nanas kecil yang didakwa mengandungi bahan pemanis tanpa zat siklamat.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Norrani Eksan berkata, bermula tahun lalu, pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) dijalankan ke atas nanas kecil (kulit berkupas) yang diimport masuk ke dalam negara.

“Sehingga kini sebanyak 115 sampel buah nanas diambil bagi tujuan analisa pelbagai parameter dengan 11 sampel didapati mengandungi siklamat dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM 8,500.

“Pada masa sama, KKM meneruskan pemantauan ke atas buah nanas di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ia mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu berhubung buah nanas kecil atau dikenali sebagai ‘baby nanas’ itu pernah tular pada tahun 2017 dan 2019 yang didakwa mengandungi siklamat iaitu sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30 hingga 50 kali lebih daripada gula sukrosa. 

“Menurut Codex General Standard for Food Additives (GSFA), siklamat dibenarkan ditambah dalam makanan tertentu seperti jem, jeli, dan marmalad, produk koko dan hasilan coklat termasuk sapuan koko dan coklat sebatian serta minuman berperisa.

“Namun siklamat tidak dibenarkan ditambah di dalam buah-buahan segar termasuk yang dikupas atau sedia dimakan dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut tidak membenarkan penambahan siklamat pada buah-buahan segar. Oleh itu peniaga diingatkan tidak mengadukkan atau menjual buah ‘baby nanas’ yang terdapat siklamat,” katanya.

Selain itu, katanya, BKKM bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia bagi perkongsian data pemantauan nanas yang dijual di pasaran tempatan.

Beliau berkata, Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya