PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengakui Liga Malaysia (Liga M) kini berada dalam keadaan membimbangkan, namun masih mempunyai ruang untuk diselamatkan sekiranya pengurusan kelab diperkemas secara menyeluruh.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul menegaskan situasi semasa Liga M belum mencapai tahap kritikal, namun memerlukan tindakan segera bagi memastikan kelangsungan bola sepak profesional di negara ini.
Menurutnya, walaupun isu kewangan turut melanda liga lain di rantau Asia Tenggara, keadaan di Malaysia dilihat lebih serius berdasarkan data yang diterima badan induk itu.
“Kalau kita tengok liga-liga lain (di ASEAN) memang kompetitif dan masalah kewangan memang ada untuk liga-liga lain tetapi tidaklah setenat di Malaysia.
“Kenapa saya kata begitu, sebab kita ada data melibatkan kes-kes yang dilaporkan kepada AFC dan FIFA. Liga M memang tenat tapi belum masuk ICU lagi, masih ada harapan kerana bola sepak di Malaysia adalah sukan popular.
“Tentang penswastaan Liga M, daripada FA ke FC saya rasa terlalu lama dan itulah saya rasa menjadi masalah sangat besar pada masalah ini, jika langkah pertama penswastaan tidak betul.
“Jadi kelab di Malaysia perlu lantik individu yang terbaik untuk mengendali kelab, setiap bahagian-bahagian seperti kewangan, pemasaran, media dan sebagainya juga perlukan individu yang bagus dan pandai buat kerja,” katanya.
Mengulas cadangan untuk mengembalikan struktur kelab daripada FC kepada FA, beliau menjelaskan langkah tersebut boleh dilakukan, namun ia akan mengehadkan penyertaan di peringkat antarabangsa.
“Boleh kalau nak tutup FC (kelab) dan pasukan kembali kepada FA tetapi mereka tidak boleh main di Asia, mereka hanya bersaing sesama sendiri sahaja,” ujarnya.
Windsor turut menekankan bahawa kejayaan penswastaan hanya boleh dicapai jika kelab mampu menjana pendapatan sendiri, khususnya melalui aktiviti berkaitan bola sepak.
“Kita selalu mengatakan kewangan kelab, hasilnya 75 ke 80 peratus seharusnya daripada aktiviti bola sepak sendiri, contohnya penaja, hak penyiaran, tiket, jersi, cenderamata dan sebagainya.
“Kalau 50 hingga 60 peratus dana daripada kerajaan atau sumbangan ini bukan bola sepak profesional, ini bola sepak amatur. Jadi kita kena perinci apa masalah ini,” ujarnya.-UTUSAN










