Sentimen pasaran masih di tahap berhati-hati - Utusan Malaysia

Sentimen pasaran masih di tahap berhati-hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sentimen pasaran global kekal berhati-hati meskipun terdapat perkembangan yang dilihat positif dalam konflik di Asia Barat, khususnya menjelang tamatnya tempoh gencatan senjata dalam masa terdekat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd.,  Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan tersebut memberi sedikit kelegaan kepada pasaran, namun ketidaktentuan yang masih menyelubungi rundingan antara pihak terlibat terus menjadi faktor utama yang membataskan keyakinan pelabur.

“Perkembangan ini sememangnya sesuatu yang positif. Apa yang kita mahukan adalah perang ini boleh berakhir secepat yang mungkin. 

“Sekiranya ini boleh dicapai, maka laluan di Selat Hormuz boleh dibuka dan dapat memulihkan gangguan bekalan bahan api,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Afzanizam, penamatan konflik juga akan membolehkan kerja-kerja baik pulih serta pembinaan semula fasiliti dan infrastruktur sektor minyak dan gas di negara-negara Teluk dilaksanakan dengan lebih lancar, sekali gus menyokong kestabilan bekalan tenaga global.

“Namun begitu, harapan tersebut masih kabur berikutan kesukaran untuk mencapai kata sepakat antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dalam rundingan semasa.

“Tempoh gencatan senjata selama dua minggu yang bakal berakhir minggu hadapan menjadikan sentimen pasaran terus berhati-hati,” jelasnya.

Beliau berkata, pelbagai persoalan masih membelenggu pelabur, termasuk kemungkinan perjanjian dapat dicapai, sama ada tempoh gencatan senjata akan dilanjutkan, serta syarat-syarat yang bakal dikenakan bagi memastikan perdamaian berkekalan.

“Keadaan ini, katanya, dijangka terus mempengaruhi sentimen pasaran global dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Presiden AS, Donald Trump berkata bahawa perang AS-Iran sangat hampir untuk berakhir apabila permusuhan semakin reda di tengah-tengah perjanjian gencatan senjata selama dua minggu masih berkuatkuasa sejak Rabu minggu lalu.

Komen presiden itu dibuat ketika rundingan damai antara pegawai AS dan perunding Iran dilaporkan dijangka dimulakan semula pada Khamis selepas rundingan hujung minggu yang terhenti di Pakistan. 

Walaupun Trump menyatakan perang hampir tamat, AS masih belum selesai misi di Iran. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta), Datuk William Ng berkata, pengumuman “tamat perang” oleh Trump perlu dilihat dengan optimisme berwaspada. 

“Ini kerana walaupun harga minyak global menunjukkan trend penurunan, pelabur masih memerlukan bukti kestabilan geopolitik yang berpanjangan terutamanya jaminan keselamatan sepenuhnya di Selat Hormuz, sebelum mereka melepaskan pelaburan besar yang kini masih dalam fasa ‘tunggu dan perhati’.

“Keyakinan pasaran tidak boleh pulih dengan kenyataan politik semata-mata, ia memerlukan pemulihan rantaian bekalan fizikal yang nyata,” katanya. 

Selain itu, jelasnya, sektor logistik, penerbangan dan kewangan dijangka pulih paling cepat hasil daripada penurunan segera kos bahan api dan risiko sistemik. 

“Walau bagaimanapun, sektor pembuatan dan pembinaan akan terus berhati-hati kerana mereka masih terbeban dengan stok bahan mentah yang dibeli pada harga tinggi sebelum ini. 

“Bagi rakyat, penurunan harga barang mungkin tidak berlaku sekelip mata kerana terdapat selang masa antara kejatuhan harga komoditi dunia dengan pelarasan harga di peringkat peruncitan domestik,” katanya. 

Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), langkah jangka pendek yang paling kritikal adalah menjalankan rundingan semula kontrak dengan pembekal berdasarkan harga pasaran baru dan menguruskan aliran tunai dengan lebih ketat. 

“Untuk jangka panjang, PKS tidak boleh lagi sekadar bertahan, mereka wajib melabur dalam kecekapan tenaga dan digitalisasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada kos buruh dan tenaga yang tidak menentu. 

“Krisis ini harus menjadi pengajaran bahawa keupayaan beradaptasi dengan teknologi adalah kunci kelangsungan perniagaan dalam era geopolitik yang rapuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN