PETALING JAYA: Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) sukar untuk diimplementasi di dalam sektor swasta kerana akan menimbulkan cabaran yang kritikal terutama terhadap produktiviti syarikat.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, BDR tidak boleh dilaksanakan secara ‘satu saiz untuk semua’ kerana tidak semua sektor seperti pembuatan, logistik atau perkhidmatan tertentu boleh beroperasi secara jarak jauh tanpa menjejaskan produktiviti dan keperluan pelanggan.
Beliau berkata, BDR sememangnya boleh membantu menjimatkan kos tertentu tetapi ia tidak menyeluruh dan kebanyakan keadaan, kos hanya beralih kepada pekerja sementara majikan pula perlu menanggung kos pelaburan tambahan seperti sistem digital dan keselamatan siber.
“Lebih penting, tidak semua fungsi kerja boleh dilaksanakan secara efektif dari rumah tanpa menjejaskan produktiviti.
“Oleh itu, MEF menegaskan bahawa BDR adalah salah satu komponen dalam strategi pengurusan kos, dan bukan penyelesaian tunggal kepada cabaran peningkatan kos operasi semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan BDR dilaksanakan mulai semalam melibatkan lebih 200,000 penjawat awam di seluruh negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, bagaimanapun ia tertakluk kepada kelayakan dan kelulusan daripada ketua-ketua jabatan.
Syed Hussain berkata, pelaksanaan BDR secara meluas akan menimbulkan beberapa cabaran kritikal yang tidak boleh dipandang ringan yang antaranya adalah isu produktiviti dan pemantauan prestasi serta risiko keselamatan dan serangan siber.
“Selain itu, isu perundangan dan kebajikan pekerja seperti waktu kerja, kerja lebih masa dan keselamatan di rumah perlu diperjelaskan. Justeru BDR tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa persediaan menyeluruh.
“BDR hanya akan berkesan jika disokong oleh garis panduan yang jelas dan disiplin pelaksanaan yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, pelaksanaan BDR dibimbangi akan menyebabkan elaun yang diperoleh pekerja ketika ini seperti elaun perjalanan dan kenderaan.
Katanya, DR akan mengurangkan kos pekerja terutama kos perjalanan ke tempat kerja tetapi pada masa sama dasar itu akan memberi kesan kepada pekerja dari segi pemotongan-pemotongan elaun.
“Namun, kami berharap BDR dapat dilaksanakan oleh sektor swasta dengan jujur selain memberi imbuhan-imbuhan yang lain kepada pekerja kerana tidak mahu wujud dua kasta antara pekerja awam dan swasta.
“Ini kerana BDR dilaksanakan di sektor awam tanpa pemotongan apa-apa faedah sedia ada, jadi kita mahu pekerja swasta turut memperoleh perkara yang sama,” katanya. -UTUSAN









