ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa menabur fitnah apabila menuduh Pakatan Harapan (PH) berpakat dengan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Abdul Hadi tidak sepatutnya berbohong ketika beliau sering membawa imej Islam dan dikenali serta dihormati sebagai seorang agamawan.
Malah beliau turut mencabar Abdul Hadi untuk membuktikan dakwaan tersebut sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.
“Sekarang apabila sudah tak ada modal, Abdul Hadi kata PH dan UMNO berpakat. Pakat apa? Kamu bercakap tentang agama, Islam dan akhlak tetapi mana buktinya?
“Kita lawan dalam pilihan raya, itu tak apalah tetapi buat apa tabur fitnah? Kalau kamu orang biasa tak tahu agama tak mengapalah tetapi kamu pakai jubah, serban sampai orang cium tangan tanda hormat tetapi cakap tak betul.
“Mana boleh begitu? Kamu ustaz, tak boleh bohong begitu,” katanya dalam Siri Jelajah Mega Harapan di Dataran Harapan Baru, di sini, malam tadi.
STRATEGI
Abdul Hadi dalam sidang akhbar kelmarin mendakwa, sebahagian pemimpin UMNO sengaja mengatur strategi bagi mengecilkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 sebagai sebahagian daripada langkah untuk membentuk kerjasama dengan PH selepas berakhir hari pengundian.
Menurut Abdul Hadi, tindakan tersebut ‘diatur’ oleh sebahagian pemimpin UMNO bagi menyelamatkan diri masing-masing.
Anwar menambah, dakwaan tersebut langsung tidak berasas kerana PH memasuki PRU15 dengan tekad memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Justeru katanya, pendirian PH sama sekali berbeza dengan Presiden Pas yang sanggup ‘mengemis’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk meminta sokongan bagi meneruskan kerjasama.
“Buat apa kita nak runding dengan UMNO dan kalau buat rundingan pun, UMNO akan tanya dah (minta jawatan) menteri-menteri tertentu.
“Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sudah berapa lama beri sokongan kepada saya tetapi tidak pernah sebut mahu tuntut menteri itu dan ini. Anda ingat kalau UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berunding, mereka takkan tuntut sebarang jawatan atau kontrak?” katanya. – UTUSAN










