PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, selepas hampir 25 tahun beliau berkhidmat sebagai pemimpin pembangkang.
Beliau mengangkat sumpah dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang berlangsung pukul 5.06 petang di Istana Negara semalam.
Pelantikan Anwar, 75, sekali gus menamatkan spekulasi calon Perdana Menteri, setelah lima hari Parlimen tergantung kerana tiada parti atau gabungan yang meraih majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu.
Ini kali kedua Pengerusi PH dilantik sebagai Perdana Menteri, selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018 yang memenangi PRU14.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menjadi Presiden PKR pertama dilantik sebagai Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang kedua dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, keputusan itu dibuat setelah baginda mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pagi semalam.
KEPUTUSAN
Dalam perbincangan tersebut, Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara,” titah baginda.
Majlis angkat sumpah Anwar sebagai Perdana Menteri, turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pada istiadat itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara.
Selasa lalu, Agong menitah PH dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan perpaduan, tetapi Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menolak kerana engan bekerjasama dengan PH.
Walaupun, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada awalnya menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tetapi kedua-dua gabungan itu kemudian mengumumkan mereka akan mengikut titah Agong.
Kemuncaknya malam kelmarin, UMNO mengumumkan parti itu menyokong Barisan Nasional mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang tidak diterajui PN.- UTUSAN











