KOTA BHARU: Anak muda kini cenderung memilih parti yang mampu menyelesaikan isu yang berkait rapat dengan golongan itu.
Mereka berpendapat, sudah tiba masanya rakyat negeri ini melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini dengan menukar gabungan parti lain pula untuk memerintah Kelantan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang eksekutif swasta, Riduan Muhamad,32, ini adalah masa yang amat sesuai untuk rakyat Kelantan membuat pilihan bijak bagi melakukan perubahan yang lebih baik untuk negeri ini.
“Kita sudah terlalu lama dibelenggu dengan masalah-masalah air, isu kebersihan, pembangunan dan sebagainya yang tidak pernah selesai.
“Oleh itu, sebagai pengundi yang bijak, kita berhak untuk memilih mana-mana parti terbaik menjadi kerajaan dan memimpin negeri ini sekali gus dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya di sini semalam.
Bagi seorang pekerja swasta, Muhamad Fauzan Ab. Ghafar, 24, berkata, masalah-masalah rakyat terutama isu air dan kebersihan tidak pernah selesai sejak sekian lama.
“Perkara ini amat mengecewakan rakyat kerana air adalah keperluan asas yang paling penting, namun sehingga kini kerajaan masih tidak dapat mencari jalan penyelesaiannya.
“Jangan hanya sekadar pandai menabur janji ketika pilihan raya sahaja. Oleh itu, kita perlu melakukan perubahan kepada negeri ini pada pilihan raya kali ini untuk memilih pemimpin yang tepat,” katanya.
Sementara itu, seorang pembantu pejabat, Nurul Zawani Ajizi, 24, berkata, sebagai pengundi muda, sudah pastinya dia ingin melihat perubahan di negeri Kelantan terutamanya melibatkan masalah rakyat.
“Ini adalah kali pertama saya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dan sudah pasti saya akan membuat pilihan pemimpin yang dapat memberi manfaat dan membantu rakyat.
“Rakyat memerlukan kerajaan yang serius dan mengambil berat tentang masalah yang dihadapi mereka dan saya pasti rakyat lebih tahu siapa yang perlu mereka pilih,” ujarnya. – UTUSAN










