GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan tohmahan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mendakwa Kerajaan Selangor menjual tanah padang awam atau lebih dikenali sebagai Padang Changi di kawasan Sungai Tua di sini.
Dalam satu kenyataan, Amirudin berkata, secara faktanya, tanah tersebut adalah hak milik seorang individu dan jelas tiada sebarang penjualan tanah Padang Changi oleh Kerajaan Selangor seperti yang didakwa.
“Tanah tersebut didaftarkan atas nama seorang individu bernama Yap Kwai Heng pada 17 Mei 1957. Tanah ini kemudian dipindah milik beberapa kali sehinggalah didaftarkan di atas pemilik kini pada 26 Mei 1977, iaitu Uda-Alattas.
“Ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang penjualan tanah Padang Changi oleh Kerajaan Selangor kerana plot tanah ini hak milik individu sejak tahun 1957,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga calon nombor dua kerusi Parlimen Gombak ‘menasihatkan’ Megat Zulkarnain supaya berkempen secara bermaruah untuk meraih sokongan pengundi.
“Ini adalah kali kedua beliau mengulangi tohmahan ini di dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15. Tuduhan ini adalah tindakan menjual maruah dengan menipu semata-mata ingin
meraih undi.
“Calon BN harus kempen secara bermaruah, jangan jual maruah demi meraih undi kerana rakyat Gombak mempunyai fakta yang terkini dan inginkan wakil rakyat yang bermaruah,” katanya. –UTUSAN










