Akta Pendanaan Politik perlu diwujudkan segera

Akta Pendanaan Politik perlu diwujudkan segera

WAN Ahmad Wan Omar (kiri) bersama calon BN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat (kanan) pada Majlis Perjumpaan Silaturrahim Pesara-pesara Kerajaan Malaysia Negeri Terengganu, di Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Akta Pendanaan Politik perlu diwujudkan segera di negara ini bagi menambah baik landskap politik negara sekali gus demi kelangsungan sistem demokrasi Malaysia yang lebih telus dan bersih. 

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kewujudan akta berkenaan membolehkan pemantauan dapat dilakukan bagi mengetahui sumber kewangan atau dana diperoleh sesebuah parti politik.

“Kita ada undang-undang larangan lompat parti dan bagi saya, ia satu perkara terbaik berlaku di negara kita. Tindakan lompat parti bukan sekadar pecah amanah atau khianati pengundi tetapi juga punca ketidakstabilan negara.

“Satu lagi yang perlu diwujudkan ialah Akta Pendanaan Politik atau Akta Pembiayaan Kempen Politik  kerana ketika ini, kita belum ada peraturan jelas tentang sumbangan, perbelanjaan politik calon semasa kempen pilihan raya.  

“Pengalaman-pengalaman Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, ada parti-parti politik yang tidak hanya terima duit dari dalam negara, tetapi juga menerimanya dari luar negara seperti ‘International Republican Institute’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu Majlis Perjumpaan Silaturrahim Pesara-pesara Kerajaan Malaysia Negeri Terengganu anjuran  Kelab Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, di Akademi Walit Tanjung Gaung, di sini, hari ini. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga bekas Penasihat Khas (Strategik) di Jabatan Perdana Menteri memaklumkan secara demokrasinya setiap kerusi sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah untuk membantu sesebuah parti tubuhkan kerajaan.

“Sama ada kerusi Parlimen atau DUN, ia bukan kepunyaan calon tetapi kepunyaan parti. Calon hanya mewakili parti, jangan gunakan kerusi untuk dapatkan jawatan dan kemudiannya lompat ke lain, itu menyalahi prinsip demokrasi perwakilan,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya