'Abang belanja makan sebelum nahas'

‘Abang belanja makan sebelum nahas’

TOYOTA Estima yang dinaiki sekeluarga terlibat dalam kemalangan jalan raya di simpang tiga Jalan Kolam, Machap, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Warga emas Ibrahim Daud, 71, yang maut dalam nahas jalan raya dekat simpang tiga Jalan Kolam, Machap di sini semalam membayar makanan semua pelanggan di sebuah warung di Felda Tun Ghafar, Bukit Senggeh sebelum kejadian.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Alor Gajah, adik bongsu Ibrahim, Osman Daud, 62, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan abangnya itu selepas solat subuh di warung tersebut.

Katanya, Ibrahim membayar juadah sarapan lebih 10 jemaah di situ selepas selesai solat subuh.

“Abang saya berniaga kedai di bawah, saya di atas, pagi tadi dia datang ke kedai untuk sarapan selepas subuh. Dia belanja semua pelanggan yang sedang bersarapan.

“Lepas itu, dia kata hendak pergi Langkawi, Kedah. Anak-anak hendak bawa, kebetulan hari jadi dia. Kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan ke sana,” katanya.

Ibrahim maut di tempat kejadian manakala isterinya, Latipah Dorahim, 66, meninggal dunia selepas itu di Hospital Alor Gajah.

Dua lagi yang terkorban ialah menantu pasangan itu, Syazana Tharin, 30, dan cucu lelaki berusia lima tahun, Yusuf Daniel Muhammad Izwan.

Dalam pada itu, seorang lagi cucu lelaki, Aniq Fahim Muhammad Izwan cedera di kepala masih dirawat di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pemandu Toyota Estima yang juga anak lelaki kepada pasangan warga emas itu tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku disebabkan sebuah lagi kereta jenis Toyota Land Cruiser yang keluar dari simpang berkenaan membelok ke kanan.

“Kenderaan dinaiki semua mangsa cuba mengelak ke arah kanan jalan dan cuba membrek sejauh lima meter, tetapi melanggar Toyota Land Cruiser itu pada bahagian kiri hadapan.

“Daripada pelanggaran tersebut seorang penumpang Toyota Estima meninggal dunia di tempat kejadian. Semua penumpang lain telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan. Pemandu Toyota Land Cruiser itu juga telah dibawa ke hospital.

“Tiga lagi mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan. Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk proses bedah siasat dan kenderaan telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN