PETALING JAYA: Sebanyak 661 pusat pengundian awal di seluruh negara dibuka hari ini bagi membolehkan 265,571 anggota keselamatan termasuk pasangan melaksanakan pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pasukan keselamatan terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, antara tempat mengundi awal ialah di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera di seluruh negara.
Menurut beliau, proses pengundian awal bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang tertakluk waktu ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Bagi pengundian awal esok (hari ini), sebanyak 118,815 membabitkan anggota dan pegawai berkhidmat dengan PDRM beserta pasangan masing-masing.
“Manakala, 146,756 lagi warga ATM dan pasangan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut Hazani, sebanyak 5,661 pegawai dan anggota PDRM akan ditugaskan sepanjang proses pengundian awal bagi memastikan keselamatan dan proses pengundian lancar.
“Satu kenyataan akan dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi memaklumkan mengenai perjalanan (esok) hari ini,” jelasnya.
Sebelum ini bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, setiap kertas undi dicatatkan nombor siri termasuk undi awal, namun setiap nombor siri tidak ditentukan kepada siapa kerana ia bergantung masa kehadiran pengundi itu.
Jelasnya, pengundi yang datang awal akan mendapat nombor siri awal. – UTUSAN










