36 jemaah umrah terkandas selamat tiba di tanah air

36 jemaah umrah terkandas selamat tiba di tanah air

WISMA Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 36 orang daripada keseluruhan 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu akhirnya selamat tiba di tanah air hari ini. 

Berita gembira tersebut disahkan oleh Kementerian Luar menerusi kenyataan akhbar di sini manakala baki 27 orang lagi akan dibawa pulang melalui penerbangan yang seterusnya.

“Kumpulan pertama itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dekat sini pukul 5.50 pagi tadi dengan Malaysia Airlines penerbangan MH153,” katanya.

Difahamkan, pesawat model Airbus 333 tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad Abdulaziz, Madinah pukul 3.58 petang waktu tempatan semalam.

Utusan Malaysia pada 8 Oktober lalu melaporkan Wisma Putra menyelaraskan usaha penghantaran balik kumpulan jemaah dari satu gerakan tarekat berpusat di Negeri Sembilan susulan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengenai amalan pelik mereka itu yang dipimpin Habib Shah Firdaus Ahmad.

Mereka yang terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak itu merupakan pengikut kumpulan Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah yang tiba di sana Mac lalu.

Gerakan ini dipercayai kononnya merancang untuk menunggu kemunculan Imam Mahdi di Arafah pada hari wukuf lalu, tetapi hampa apabila langsung tidak pernah pun dibawa ke Mekah.

Ketua tarekat gerakan sesat tersebut diusir keluar pihak kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan berkaitan visa.

Mengulas lebih lanjut, Wisma Putra berkata, urusan penghantaran tersebut dilakukan dengan lancar malah mematuhi segala peraturan ditetapkan kerajaan negara berkenaan.

“Ini demi memelihara hubungan dua hala yang akrab antara Malaysia dan Arab Saudi serta keistimewaan diberikan termasuk kemudahan visa pelancong kepada rakyat,” jelasnya lagi. 

Kerajaan Malaysia ujarnya, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu usaha penghantaran pulang kumpulan jemaah terbabit ke negara ini.

Wisma Putra kekal komited memastikan aspek kebajikan warga Malaysia di luar negara juga sentiasa terpelihara berdasarkan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963.

Rakyat Malaysia bagaimanapun dinasihatkan agar sentiasa menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang mereka berada di sana. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya