BATU PAHAT: Seorang wanita maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 129, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Yong Peng, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Asyraf Nur Mohd. Yusoff berkata, kejadian pukul 5.57 petang itu melibatkan masing-masing sebuah lori kontena Volvo, treler Volvo, Proton Saga, Toyota Vios dan Nissan Almera.
Dua buah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS dengan kekuatan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng dan Pagoh diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Hafiz Othman dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, anggota pasukan mendapati seorang wanita tersepit di tempat duduk penumpang dalam kereta Proton Saga sebelum kerja-kerja mengeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Walau bagaimanapun, wanita berusia 28 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Asyraf Nur, dua mangsa yang cedera adalah lelaki, masing-masing pemandu lori kontena Volvo berusia 40 tahun dan pemandu kereta Proton Saga.
Pemandu treler Volvo, Toyota Vios dan Nissan Almera tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang cedera dirujuk ke hospital berdekatan menggunakan kenderaan EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Mayat mangsa yang meninggal dunia dirujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN