Oleh Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman
Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia
SEBAGAI antara perintis universiti awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) komited untuk melaksanakan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bermula tahun ini bagi menyantuni mahasiswa B40.
SULUNG merupakan cetusan idea Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang disuarakan semasa Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Pengajian Tinggi pada awal tahun ini dan mendapat sokongan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam ucapannya ketika merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Parit Sulong pada bulan Februari yang lalu, Perdana Menteri menyifatkan SULUNG sebagai sebuah program yang unik dan istimewa.
Program seumpama ini juga telah diwujudkan di beberapa buah negara lain seperti United Kingdom dan Australia, bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40 yang pertama kali melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.
UKM menyokong program ini kerana ia mampu memberi peluang kepada lebih ramai pelajar, khususnya dari golongan B40 untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing melalui laluan kerjaya yang lebih cemerlang.
UKM juga merupakan salah sebuah universiti awam yang terpilih sebagai perintis bagi melaksanakan Program SULUNG di bawah strategi ketujuh dalam Amanat Tahun 2022 Menteri Pengajian Tinggi.
Inisiatif SULUNG juga selari dengan prakarsa Prihatin UKM yang menekankan dua aspek utama iaitu kebajikan dan kemasyarakatan. Kebajikan pelajar merupakan suatu tanggungjawab moral yang menjadi fokus pentadbiran universiti.
Justeru, agenda ini perlu dilestarikan agar pelajar mampu menumpukan sepenuh daya usaha untuk mengukir kejayaan yang membanggakan dan mengharumkan nama universiti.
Hubungan erat dan kerjasama strategik turut dibina antara pihak pentadbiran, fakulti, kolej dan persatuan pelajar.
Setakat ini, 10 orang mahasiswa UKM daripada pelbagai fakulti telah terpilih mengikuti program SULUNG. Melalui program ini, para mahasiswa terpilih akan menerima pelbagai bentuk bantuan dan sokongan, demi memastikan kejayaan yang berterusan buat mereka.
Para pensyarah akan turut dilibatkan bagi membantu kemenjadian mahasiswa dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang akademik, khidmat masyarakat dan pembangunan sahsiah.
Pihak pentadbiran universiti bersama para pensyarah merupakan tulang belakang dalam memastikan kejayaan dan kehebatan seseorang graduan adalah bukan semata-mata berlandaskan pencapaian akademik, tetapi turut disertai dengan kecemerlangan secara holistik.
Sesuai dengan misi penubuhannya sebagai sebuah universiti watan, UKM sentiasa memainkan peranan untuk menjana, menyebar dan menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakat.
Prakarsa universiti untuk masyarakat menitikberatkan pemindahan ilmu dengan pengisian kesarjanaan menggunakan pendekatan quadarplehelix iaitu kolaborasi universiti-agensi-industri-komuniti yang merupakan penambahbaikan kepada inisiatif program pemindahan ilmu.
Prakarsa ini turut mendokong inisiatif SULUNG yang baru dilancarkan oleh KPT, selain beberapa pendekatan lain yang telah diambil bagi membantu para mahasiswa yang memerlukan.
Antaranya, program Jelajah Jejak Anak Watan UKM yang membantu mahasiswa dari segi yuran kemasukan dan wang saku, program sumbangan bakul makanan yang telah memberi manfaat kepada 4107 orang pelajar dengan jumlah sumbangan mencecah RM204,610.00 semenjak tahun 2021, dan bantuan melalui Pusat Zakat UKM yang memperuntukkan lebih RM4.5 juta pendanaan umum pelajaran termasuk kos sara hidup bagi tahun 2022 sahaja.
Terkini, UKM baru sahaja memberi kelulusan sebanyak RM 1.2 juta bagi tujuan penambahbaikan penginapan Taman Tenaga (Kolej ke-13) UKM. Peruntukan tambahan ini disediakan bagi memastikan lebih ramai mahasiswa UKM dapat menikmati kemudahan asrama yang selesa pada masa akan datang. – UTUSAN










