Tubuh Suruhanjaya Pendidikan Diraja elak murid jadi tikus makmal

Tubuh suruhanjaya pendidikan elak murid jadi `tikus makmal’

Malaysia perlu menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Negara agar dasar dan sistem pembelajarannya tidak kucar-kacir. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu suruhanjaya pendidikan per­lu ditubuhkan bagi di­per­tanggung­jawab menyelia dasar pendidikan negara ini daripa­da terus berubah dengan sewenang-wenangnya.

‘Penyakit’ berkenaan perlu ditangani supaya anak-anak Malaysia tidak ‘ditafsirkan’ sebagai ‘tikus makmal’ disebabkan sistem pendidikan yang sering mengelirukan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ketika ini polisi dan dasar sistem pendidikan negara akan berubah seiring dengan perubahan menteri mahupun kerajaan.

Menurut beliau, dasar dan perjalanan sistem pendidikan sepatutnya diuruskan satu suruhanjaya dengan anggotanya dipilih dalam kalangan pakar-pakar dalam bidang pendidikan dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mengelakkan campur tangan politik.

Kata beliau, meskipun menteri atau kerajaan boleh ber­ubah, tetapi suruhanjaya tidak akan terkesan kerana tugas mereka hanya menjaga dasar dan polisi sistem pendidikan.

Justeru katanya, perubahan dasar yang mengelirukan serta tidak menambah baik sistem pendidikan tetapi hanya merosakkan perjalanan sistem ber­kenaan dapat dielakkan.“Apa yang kita lihat sekarang, apabila ahli politik menjadi menteri, dia mesti mahu tunjuk prestasi terbaik, jadi tambah dasar buat macam-macam sampai guru pening sedangkan dasar dulu masih berjalan.

SEKOLAHKU

“Contohnya kita sudah laksanakan nilai murni, pendidikan sivik, tiba-tiba datang dasar sekolahku sejahtera dan kalau dibandingkan (polisi) pendidikan sivik itu lebih menyeluruh serta komprehensif.

“Jadi, ahli politik bukan jaga sistem pendidikan, cuma jaga politik dia dan gunakan pendidikan untuk mendapat populariti, tetapi (tak semua) ada masanya ahli politik baik namun ada juga masanya guna untuk kepentingan.

“Namun, amalan Suruhanjaya Pendidikan Diraja ini memang ada di negara maju. Kalau kita lihat England, mengapa sistem pendidikan tahun 90-an berterusan sehingga ke hari ini sedangkan setiausaha pendidikannya berubah banyak kali, sebab mereka tak boleh berubah sewenang-wenangnya apa yang diperakui oleh suruhanjaya pendidikan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sistem pendidikan negara yang sukar direalisasikan di landasan yang betul kerana didakwa berlaku campur tangan politik.

Perkara itu tercetus susulan guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh mendakwa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana sering menegur berkaitan isu persekolahan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan membabitkan silibus ‘kayangan’ tahun 1 terutamanya berkaitan subjek matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat.

PEMBANGUNAN

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, sudah tiba masanya perbincangan transformasi pelan pendidikan baharu dimulakan kerana pelan pembangunan pendidikan 2025 hampir tamat.

Katanya, langkah itu perlu diambil segera supaya sistem pendidikan dapat disemak secara menyeluruh dan bukannya berbentuk tampalan atau sekadar membaiki seperti ketika ini.

“Selain soal kualiti dan ekuiti, salah satu aspek dibincangkan di seluruh dunia adalah soal kesejahteraan terutama selepas pandemik.

“Soal kesejahteraan murid dan seluruh warga pendidikan itu perlu dimasukkan dalam perkara penting dalam perubahan transformasi pendidikan, tetapi itu tidak diberi perhatian dalam pelan pendidikan lama sedangkan perkara itu menonjol semasa pandemik.

“Jadi perbincangan transformasi pelan pendidikan perlu bermula dari sekarang dan saya rasa (perbincangan masih) tidak dilakukan.

Itu yang berlaku sekarang adalah baiki situ baiki sini dan tampal-tampal yang mana cuma sesuai dalam bentuk jangka pendek, bukannya jangka panjang,” katannya.
Bagaimanapun Amin Senin berkata, salah satu masalah besar pelan pendidikan di dunia adalah soal pelaksanaan.

Justeru katanya, salah satu ciri penting dalam bagi sesebuah polisi itu adalah pelaksanaan kerana sebagus mana pun polisi itu tetap tidak berhasil tanpa pelaksanaan.

“Jadi guru adalah individu melaksana itu perlu diberikan bantuan sepenuhnya sama ada dari segi sokongan pembangunan negara atau sokongan kewangan.

“Malah, jika dilihat jumlah duit yang kita laburkan apabila berlaku pandemik ini untuk membaiki (sistem pendidikan), ia tidak setara dengan cabaran dihadapi.

“Mereka terlepas pandang dan anggap guru-guru (boleh) melaksana, sedangkan (guru) perlukan sistem sokongan. Jadi, sokongan kewangan itu tidak diberikan perhatian yang baik menjadi cabaran besar dalam pelaksanaan,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN