KLANG: Kegiatan haram tiga individu mencuri lilin sawit yang disimpan dalam dua kontena di Kawasan Perindustrian Pandamaran di sini, tumpas apabila mereka dicekup polis, Rabu lalu.
Penahanan dua lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 36 tahun itu membawa kepada rampasan 2,202 kotak berisi lilin berkenaan yang dianggarkan bernilai RM80,000.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu disedari pegawai operasi yang bertugas di kawasan perindustrian tersebut, kira-kira pukul 11.30 pagi, Isnin lalu.
Kata beliau, siasatan mendapati semua lilin yang digunakan bagi produk kosmetik dan kecantikan itu didapati hilang dan dicuri.
“Bahan itu dipercayai disimpan dalam kontena pada 8 Oktober lalu sementara menunggu penghantaran ke luar negara pada Selasa lalu.
“Semakan di pintu masuk bagaimanapun mendapati tiada sebarang pergerakan keluar direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang pekerja syarikat itu masuk dalam keadaan mencurigakan sebelum merosakkan rakaman kejadian.
“Bertindak atas maklumat, polis memberkas tiga suspek di Taman Pendamar Indah 2, kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu lalu.
“Selain itu, pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian dirampas bagi tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
“Majistret Mahkamah Klang turut membenarkan reman selama empat hari ke atas semua suspek. Siasatan lanjut masih dijalankan dan akan dilengkapkan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Justeru, Hoong Fong menasihatkan pengurus syarikat untuk meningkatkan keselamatan di premis dengan menyediakan pengawal keselamatan dan meningkatkan kualiti CCTV bagi membantu siasatan polis.-UTUSAN










