Tidak bubar DUN: Bazir duit, masa rakyat - Utusan Malaysia

Tidak bubar DUN: Bazir duit, masa rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan kira-kira RM300 juta lagi bagi mengadakan pilihan raya secara berasingan di enam negeri yang tidak membubar Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) serentak de­ngan pembubaran Parlimen.

Negeri-negeri yang tidak mem­­­bubarkan DUN itu adalah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pi­nang, Selangor dan Ne­geri Sem­bi­lan. Mandat di semua negeri ini hanya tinggal enam bulan sahaja.

SPR sebelum ini memaklum­kan perbelanjaan mengurus Pi­li­­han Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang membabitkan Parlimen dan DUN adalah kira-kira RM1 bilion.

Namun keputusan enam ne­ge­ri di bawah Pakatan Harapan dan Pas itu untuk tidak turut ser­ta mem­bubarkan DUN masing-ma­sing akan memaksa SPR mengeluarkan perbelanjaan tam­bahan.

Ia bukan sahaja membeban kewa­ngan negara tetapi turut membazir masa rakyat dan pro­ses pen­tadbiran negara ekoran kem­­­pen-kempen politik yang ber­terusan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, peningkatan kos sekitar RM300 juta adalah rele­van bagi melaksanakan semua aktiviti urusan pilihan raya yang terpaksa dibuat dan diurus dua kali.

Menurut beliau, jumlah itu me­liputi kos seperti penetapan tarikh-tarikh baharu, keluar writ, notis, proses penamaan calon, proses pengundian, pe­ngiraan undi, dan perkara-per­kara lain yang berkaitan.

BERASINGAN

“SPR perlu mohon bajet tam­bahan (untuk melaksanakan pi­­lihan raya negeri (PRN) ber­asingan dengan Parlimen). Ini adalah mem­bazir masa dan wang rak­yat,” kata beliau semalam.

Kata Wan Ahmad, semua pe­­mimpin politik ketika ini sewajarnya mengetepikan emosi dan ego politik masing-masing se­baliknya lebih memikirkan ma­salah kehidupan rakyat.

Menurut beliau, setiap kali pi­lihan raya sudah tentu parti-par­ti politik seperti membazir wang untuk kos mereka ber­kem­pen dan kos-kos lain yang ber­kaitan untuk kerjar menang pada pilihan raya.

Lebih memburukkan, kata­nya, keadaan itu membuatkan rakyat muak dan bosan untuk menghadapi banyak pilihan ra­ya sekali gus menjejaskan ke­har­monian rakyat.

“Rakyat akan marah kerana terlalu banyak pilihan raya kerana perkara itu menghalang kelangsungan hidup mereka. Kempen politik diadakan berterusan, sudahlah kempen untuk PRU Parlimen selepas itu ada lagi kempen bagi DUN,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Nik Abdullah mengesahkan Pas kekal dengan keputusan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga tamat tempoh Parlimen pada Mac tahun depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, parti itu akan terus mendukung keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sehingga tahun depan.

BARISAN NASIONAL

Keputusan itu sekali gus menyaksikan hanya DUN di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dibubarkan susulan pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob kelmarin.
DUN terlibat ialah di Perak, Perlis dan Pahang namun Me­laka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak dibubarkan kerana negeri-negeri tersebut baru mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sementara itu, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof pula berkata, langkah mengadakan pilihan raya berasingan antara Parlimen dan DUN turut mencetuskan pelbagai implikasi kerana bukan sahaja menyebabkan kos mencecah sehingga RM2 bilion, sebaliknya menjejaskan peratusan keluar mengundi.

Menurut beliau, anggaran berkenaan berdasarkan unjuran SPR sebelum ini yang menjangka kos pelaksanaan PRU15 kira-kira RM1.01 bilion selain perbelanjaan empat pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor yang sudah menelan belanja sehingga RM420 juta.

“Tindakan pilihan raya berasingan antara Parlimen dan DUN boleh menyebabkan kos kewangan bertambah dua kali ganda dan akhirnya merugikan wang rakyat.

“Langkah tersebut juga secara langsung menambahkan beban petugas SPR kerana terpaksa melakukan dua kali kerja untuk menguruskan pilihan raya seperti proses penamaan dan pengundian serta pengiraan kertas undi ekoran perbezaan keputusan antara Parlimen dan negeri,” kata beliau.

Menurut beliau, proses pilihan raya bukanlah satu tugas mudah, ia memerlukan persiapan rapi untuk memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

Tambah beliau, tindakan mengadakan pilihan raya berasingan juga boleh mencetuskan ketidakstabilan politik berpanjangan apabila pengundi terpaksa berdepan gelagat ahli-ahli politik yang sibuk berkempen sepanjang masa tanpa memikirkan soal kebajikan dan masa depan rakyat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN