Tiada nama Nizar, Nooryana di Pekan

Tiada nama Nizar, Nooryana di Pekan

MOHD. NIZAR NAJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Datuk Mohd. Nizar Najib ataupun Nooryana Najwa tidak dicalonkan bagi menggantikan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak di kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly berkata, lima nama dari UMNO Bahagian Pekan termasuk Najib dikemukakan untuk kerusi tersebut.

“Tidak ada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di Parlimen Pekan jika beliau tidak layak bertanding.

“Sebaliknya, sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya di sini semalam.

Zamri bagaimanapun enggan mendedahkan empat nama selain Najib yang menawarkan diri bertanding di Pekan pada PRU15 ini.

Beliau berkata, Mohd. Nizar dicalonkan tetapi di kerusi DUN yang membabitkan Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Najib sudah hilang kelayakan untuk menjadi calon.

“Penyertaan beliau (Najib) sebagai calon mana-mana pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK) disekat oleh Perkara 48(5).

“Perkara 48(5) memperuntukkan sekatan seorang yang dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau dihukum denda tidak kurang daripada RM2,000 untuk dinamakan sebagai calon, dipilih atau dilantik sebagai ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara melainkan dia sudah mendapat pengampunan bebas.

“Rayuan pengampunan yang sedang dibuat oleh Najib hanya membolehkan beliau menghabiskan tempoh penggal Parlimen lalu sebagai ahli Parlimen Pekan dan tempoh itu telah tamat dengan pembubaran Parlimen kelmarin,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN