Tiada masalah kerajaan laksana Bajet 2023

Tiada masalah kerajaan laksana Bajet 2023

OTHMAN Aziz (tengah) beramah mesra bersama pengunjung Karnival Mini Majlis Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Parlimen Jerlun di SMK Permatang Bonglai, Jerlun, hari ini.- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Kerajaan tidak berdepan masalah untuk melaksanakan Bajet 2023 meskipun terdapat pertambahan RM40 bilion dalam pembentangan kali ini, berbanding peruntukan berjumlah RM332.1 bilion tahun lalu.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada defisit bajet yang ketika ini hanya berada pada paras 5.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut Pengerusi MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) itu, angka tersebut menunjukkan betapa kerajaan mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik.

“Kalau kita bercakap mengenai soal peruntukan pembangunan, memang selama ini pun kerajaan akan tetap meminjam wang untuk membangunkan projek yang mendatangkan pulangan dalam tempoh agak panjang seperti sekolah dan jalan raya. 

“Namun dalam masa sama, kita juga tahu pinjaman itu dibuat melalui sumber tempatan sama ada terbitan bon atau sukuk yang turut mampu diurus dalam jangka masa panjang.

“Bersandarkan unjuran-unjuran kerajaan, kita masih mampu membuat peruntukan pembayaran balik hutang sama ada dalam bentuk pokok atau hibah. Tiada negara yang mampu buat peruntukan tahunan tanpa meminjam tetapi apa yang penting kita kena sedar bahawa pinjaman seharusnya datang daripada sumber dalaman supaya negara tidak terkesan dengan kadar mata wang jika berhutang dengan negara asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Mini Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Permatang Bonglai di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP Perak yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menyatakan kebimbangan terhadap masa depan negara dengan memuat naik komen menyatakan betapa mudah untuk membelanjakan wang negara yang tidak ada dan membuat hutang baharu bagi menampung hutang lama.

Sementara itu, Othman yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan kepada golongan pesawah.

Menurutnya, langkah kerajaan mengembalikan bantuan berjumlah RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah di seluruh negara adalah sesuatu yang tepat bagi meringankan beban dihadapi golongan itu.

“Dalam tempoh setahun, akan ada dua musim penanaman padi dan itu bermaksud golongan pesawah ini akan menerima kira-kira RM1,200 setahun hasil bantuan kerajaan. Angka itu sebenarnya amat besar maknanya buat pesawah-pesawah di seluruh negara.

“Apabila tiba musim mengerjakan sawah, mereka ini sememangnya tiada pendapatan kerana perlu menanti masa untuk padi dituai. Jadi bantuan berjumlah RM200 sebulan itu sedikit sebanyak dapat membantu golongan ini pada waktu-waktu demikian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya